Connect with us

General

Hab e-sukan di Puchong akan dibina Mac nanti

Published

on

Foto:Spacerubix

SATU hab e-sukan akan dibangunkan di Spacerubix, Puchong, Selangor bermula Mac ini.

Menurut bahagian inisiatif e-sukan agensi Impact Integrated, Esports Integrated (ESI), kerja-kerja pembinaan akan bermula Mac-Oktober 2021 nanti.

Foto: ESI
Foto: ESI

“Projek ini merupakan kesinambungan pengumuman peruntukan sukan dalam Belanjawan 2020 yang lalu.

“Ia merupakan sebahagian daripada pelaksanaan rangka kerja yang inklusif dan mapan untuk pertumbuhan industri.

“ESI bakal menjalankan siri program pembangunan kapasiti dan membangunkan rangka kerja pengawalseliaan yang efektif menerusi garis panduan e-sukan kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Menurut ESI, hab itu juga akan digunakan untuk pusat latihan untuk golongan pemain profesional dan amatur, sebuah hab jaringan untuk pemegang taruh industri, dan sebagai hab utama untuk program-program profesional dan pembangunan kapasiti.

Ketua Pegawai Eksekutif ESI Ahmed Faris Amir berkata hab itu juga akan memainkan peranan sebagai pusat pembelajaran dalam e-sukan.

“Kita tidak boleh berhenti sekadar di takuk penganjuran kejohanan e-sukan atau pembentukan
platform pusat semata-mata.

“Usaha itu perlu disusuli dengan hab fizikal yang berfungsi sebagai saluran organik untuk jaringan dan pusat pembelajaran.

“Pendekatan holistik adalah kaedah terbaik untuk memastikan pertumbuhan yang berterusan dalam industri dan hab esukan negara adalah langkah seterusnya, bersama dengan program pembinaan kapasiti kami,” katanya dalam satu kenyataan media.

Pembinaan hab itu turut mendapat sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan Datuk Sri Reezal Merican Naina.

Menurut Reezal, hab itu juga akan berfungsi seperti hab sukan negara yang lain, dengan menjadi lokasi utama dan pusat latihan untuk kontinjen e-sukan Malaysia bertanding dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Saya juga yakin orang ramai akan memanfaatkan kemudahan ini dan menyeru semua peminat e-sukan tempatan untuk menggunakan kemudahan yang disediakan di hab esukan kebangsaan setelah ia siap dibina dan menyertai program latihan ESI,”katanya dalam kenyataan media yang sama.

ESI adalah sebuah inisiatif dari Impact Integrated untuk memangkin sebuah ekosistem e-sukan yang rancak, mapan, dan inklusif di Malaysia.

Matlamat ESI adalah untuk membina struktur dan program-program untuk menyokong pembangunan ekosistem yang rancak, mapan dan inklusif yang mampu merangsang pertumbuhan, memastikan perlindungan, dan meluaskan kepelbagaian.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved