Connect with us

General

Gamer ajak mufti berdebat

Published

on

Nik Harris Nik Ahmad Huzlan yang telah berkecimpung dalam arena e-sukan selama enam tahun mengajak Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad untuk sesi berdebat. - Foto Instagram / @iamthehound

“Saya dengan rendah diri ingin menjemput Mufti untuk sesi berdebat, sama ada menerusi atas talian atau secara berdepan bagi membantu beliau dalam memahami kebimbangannya mengenai permainan video.”

Itu kata pengulas e-sukan Nik Harris Nik Ahmad Huzlan yang mengajak Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad untuk sesi berdebat mengenai isu pengaruh permainan video.

Nik Harris berkata gesaan untuk mengharamkan permainan video bukan sahaja tidak masuk akal tetapi menyekat kerjaya pemain atau komuniti dalam industri e-sukan.

“Isu tembakan di Christchurch, New Zealand baru-baru ini memang patut dikutuk sekeras-kerasnya tapi untuk mengaitkan insiden tersebut dengan permainan video adalah tidak adil.

“Statistik daripada pelbagai kajian menunjukkan tiada kolerasi antara keganasan dalam permainan video dengan tindakan untuk melakukan keganasan.

“Selain itu, industri permainan video di Malaysia kini secara perlahan-lahan telah mencapai nilai jutaan ringgit yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada penyertaan pemain tetapi ia mencipta peluang pekerjaan yang sebelum ini tiada di pasaran,” katanya ketika dihubungi WTM Today baru-baru ini.

Nik Harris juga berkata orang ramai hanya mahu mencari sesuatu untuk dipersalahkan daripada menyedari masalah sebenar dalam insiden keganasan yang mengorbankan 49 nyawa itu adalah berkaitan dengan isu perkauman atau ketaksuban.

Dia berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Mohd Yusof baru-baru ini di portal tempatan yang menggesa kerajaan untuk mengharamkan permainan video PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) .

Jelasnya, jemputan sesi untuk berdebat itu adalah sebagai platform bagi orang ramai untuk memahami dan melihat perspektif permainan video sebagai satu industri hiburan untuk masa hadapan.

Sebelum ini, Mohd Yusof berkata keperluan untuk mengharamkan PUBG adalah kerana permainan video itu dilihat mendidik generasi muda ke arah aktiviti keganasan selain menghilangkan perasaan belas kasihan.

“Bagi saya permainan seperti ini sudah lama dirancang dalam tempoh yang lama. Tujuannya membentuk generasi muda menyukai aktiviti perang, tempur dan ganas,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved