Connect with us

FIFA

FIFA 20: MFL, Gamesbond bakal anjur E-Piala Malaysia

Published

on

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) dengan kerjasama Gamesbond Global Sdn Bhd (Gamesbond) bakal memperkenalkan kejohanan e-sukan E-Piala Malaysia bersempena saingan Piala Malaysia 2019 musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata pihaknya menyedari perkembangan e-sukan semakin mendapat perhatian serius di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Lantaran itu, beliau berkata MFL turut tidak mahu ketinggalan untuk menyumbang kepada perkembangan e-sukan.

“E-sukan kini menjadi kegilaan sebahagian daripada remaja di Malaysia ketika ini dan dilihat mampu diketengahkan sebagai aktiviti yang boleh menjamin masa depan golongan belia.

“Aktiviti itu kini bukan sekadar untuk mengisi masa lapang malah ia boleh mendatangkan ganjaran yang lumayan menerusi pertandingan yang sering dianjurkan di luar negara.

“Saya percaya E-Piala Malaysia ini bakal menghangatkan lagi saingan kejohanan tertua di Asia Tenggara ini yang kini sudah memasuki saingan peringkat kumpulan. Selain itu kita juga merancang untuk menganjurkan pertandingan liga seiring dengan saingan Liga Malaysia musim depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gamesbond Muhammad Fazli Razak menjelaskan, pihaknya telah memilih beberapa pemain ranking terbaik tanah air yang dijangka bakal membuat penampilan di E-Piala Malaysia.

“E-Piala Malaysia kali ini bakal menggunakan permainan video FIFA 20.

“Kita telah melakukan senarai pendek dan memilih pemain-pemain e-sukan berdasarkan ranking rasmi dan pencapaian antarabangsa yang terbaharu.

“Saya percaya bahawa kerjasama dengan MFL bukan sahaja membuka dimensi baharu dalam sukan elektronik tetapi sebaliknya ia turut menunjukkan Malaysia memiliki ramai pemain-pemain berpotensi tinggi,” ujarnya.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved