Connect with us

FIFA

FIFA 20: E-Piala Malaysia MFL bakal manfaat ramai pihak

Published

on

Muhammad Hafiz Sudin dan Matthews Izzac merupakan antara pengulas terkenal dalam arena e-sukan, terutama bagi permainan video FIFA.

 KUALA LUMPUR – Pengumuman penganjuran Kejohanan FIFA E-Piala Malaysia oleh Malaysian Football League (MFL) dan Gamesbond Global Sdn Bhd (Gamesbond) dilihat bakal memberi manfaat kepada ramai pihak, kata pengulas profesional e-sukan Muhammad Hafiz Sudin.

Menurut Hafiz, E-Piala Malaysia akan membuka lebih banyak peluang kepada bakat-bakat baharu yang seterusnya akan meningkatkan jumlah pemain kompetitif dalam negara ini.

“Jika kejohanan itu diadakan pada setiap tahun, banyak penaja akan berminat untuk melabur dan mungkin boleh memberi pendapatan yang baik untuk pemain.

“Namun perkara paling penting adalah kerjasama antara MFL dan Gamesbond ini dilihat akan menjadikan e-sukan sebagai platform untuk mempromosikan bola sepak di peringkat digital.

“MFL sebagai pengendali liga bola sepak dalam negara manakala Gamesbond merupakan penganjur organisasi konsol FIFA kelas pertama. Kerjasama ini sangat istimewa dan pastinya akan memberi manfaat kepada ramai pihak,” kata Hafiz ketika dihubungi What’s The Meta.

Sementara itu bagi pengulas e-sukan Matthews Izzac, dia menyifatkan E-Piala Malaysia bakal menjadi platform bagi atlet e-sukan untuk mempamerkan bakat dan mencapai impian mereka dalam pertandingan virutal itu.

“Seperti di UK, mereka mempunyai Premier League dan juga ePremier League. Bagi penggiat e-sukan FIFA, mereka boleh bertanding dalam ePremier League dan seterusnya menyertai kelayakan eChampions League dan eWorld cup.

“Memang satu perkara yang menakjub apabila kita akan mempunyai liga tersendiri bersama MFL dan saya harap ia bakal mencungkil lagi bakat baharu.

“Ia satu perkara yang dinanti-nantikan memandangkan negara-negara lain telah pun melakukannya, jadi tiba masanya untuk kita mempunyai e-liga tersendiri,” kata Matthew.

Selasa lalu, MFL mengumumkan mereka akan bekerjasama dengan Gamesbond untuk memperkenalkan kejohanan e-sukan E-Piala Malaysia bersempena saingan Piala Malaysia 2019 musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata pihaknya menyedari perkembangan e-sukan semakin mendapat perhatian serius di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Lantaran itu, beliau berkata MFL turut tidak mahu ketinggalan untuk menyumbang kepada perkembangan e-sukan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved