General
EVOS Esports raih RM49 juta dalam suntikan dana Siri B
PLATFORM e-sukan Attention Holdings Pte. Ltd (ATTN) iaitu syarikat induk organisasi e-sukan popular Asia Tenggara, EVOS Esports berjaya meningkatkan pendanaan dalam siri B sebanyak RM49 juta (AS$ 12 juta).
Dalam satu kenyataan hari ini, EVOS Esports mengumumkan pendanaan Siri B itu diketuai Korea Investment Partners dan melibatkan penyertaan daripada syarikat Mirae Asset Ventures, Woowa Brothers, Indogen Capital dan beberapa pelabur dari Asia Tenggara dan Jepun termasuk Insignia Ventures Partners.
Ketua Pegawai Eksekutif ATTN, Ivan Yeo, berkata penyertaan Korea Investments Partners itu sememangnya akan membantu syarikatnya ke peringkat yang lebih tinggi.
“Korea Investments Partners merupakan peneraju pelaburan dalam sektor e-sukan dan permainan video dan kami sangat teruja dengan penglibatan mereka bersama kami.
“Menerusi portfolio dan pengalaman dalam indsutri, kami percaya kami telah mendapatkan rakan kongsi yang tepat untuk memacu pembangunan syarikat kami ke peringkat seterusnya,” kata Ivan dalam satu kenyataan hari ini.
Ivan juga berkata memandangkan lokasi-lokasi operasi syarikatnya di negara Asia Tenggara masih belum dimanfaatkan secara sepenuhanya, pihaknya mahu memaksimumkan peluang yang ada itu dan melancarkan platform e-sukan pertama di rantau itu.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Korea Investment Partners Sang Ho Park berkata Ivan dan syarikatnya berjaya menunjukkan rancangan hal tuju yang jelas dalam membangunkan ekosistem terbesar di Asia.
“E-sukan adalah antara industri yang membangun dengan pesat dan ATTN mampu mengukuhkan nama mereka sebagai salah satu platform e-sukan di Asia.
“Kami percaya Ivan dan syarikatnya berada dalam hala tuju yang jelas untuk membangunkan ekosistem e-sukan terbesar di Asia.
Menerusi suntikan dana itu juga, Sang Ho Park akan menyertai barisan pengarah ATTN.