Connect with us

General

E-Sukan: Jangan terlalu berseronok, lupa agama – Mufti

Published

on

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan penggiat e-sukan tidak mengabaikan tanggungjawab agama dan sosial. - Foto Facebook / Mufti Wilayah Persekutuan

Penggiat industri sukan elektronik (e-sukan) di negara ini dinasihatkan supaya tidak terlalu leka dalam keseronokan sehingga mengabaikan tanggungjawab seharian.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata penggemar e-sukan juga tidak perlu terlalu tertumpu kepada kebendaan sehingga melupakan aspek agama dan sosial.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama persatuan-persatuan e-sukan negeri di pejabatnya baru-baru ini.

“Banyak maklumat yang kami perolehi dan kami juga ada meluahkan cadangan penambahbaikan supaya industri ini tidak terlalu fokus kepada keseronokan dan kebendaan sehingga melupakan aspek agama dan sosial. 

“Semoga perbincangan ini membuahkan hasil yang baik,” katanya.

Turut hadir dalam perbincangan itu adalah Presiden Persatuan E-Sukan Kuala Lumpur Hisyam Darus, Presiden E-sukan Darul Khusus Faries Faizak, dan pegawai Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Dr Zul Azlin Razali dan Dr Dr Zatul-‘Iffah Abu Hasan.

Menurutnya, perbincangan itu adalah memahami kesan baik dan buruk permainan video dalam kalangan masyarakat dan kedudukannya dalam industri.

Sebelum ini, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad Mohd Yusof menggesa kerajaan untuk mengharamkan permainan video PlayerUnknown’s Battleground (PUBG).

Jelasnya keperluan untuk mengharamkan PUBG adalah kerana permainan video itu dilihat mendidik generasi muda ke arah aktiviti keganasan selain menghilangkan perasaan belas kasihan.

“Bagi saya permainan seperti ini sudah lama dirancang dalam tempoh yang lama. Tujuannya membentuk generasi muda menyukai aktiviti perang, tempur dan ganas,” katanya seperti dipetik portal Berita Harian.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata  beliau tidak setuju untuk mengharamkan permainan video PUBG.

Namun Syed Saddiq dalam masa yang sama juga berkata kerajaan perlu memastikan golongan anak muda di negara ini tidak ketagih untuk bermain permainan video.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved