Connect with us

General

Dreamhack Showdown: “Tekanan sepatutnya kepada Dignitas, Orange Sphynx hanya underdog,” – Narinpal

Published

on

Narinpal Singh bukan nama asing dalam arena CSGO tempatan apabila dia sudah berkecimpung dengan e-sukan ini lebih 15 tahun. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

SEPANG – Jurulatih bagi pasukan CSGO wanita tanah air, Orange Sphynx, Narinpal Singh berkata pihaknya tidak terlalu tertekan untuk menentang pasukan terkemuka Dignitas Female pada perlawanan pembuka tirai Dreamhack Showdown, 5 Julai nanti.

Narinpal juga berkata kekuatan yang pasukan berpangkalan di Amerika Syarikat itu tidak jauh berbeza dengan Orange Sphynx.

“Apabila saya tengok demos (video ulangan permainan) mereka, saya menyifatkan kekuatan mereka tidak jauh sangat jika dibandingkan dengan Orange Sphynx.

“Mereka ada kelebihan dari segi keutuhan kerjasama sepasukan kerana mereka sudah bermain bersama-sama untuk tempoh yang agak lama berbanding kami, sebab ada di antara kami masih lagi bekerja dan masih menuntut di pengajian tinggi.

“Manakala Dignitas Female lebih banyak fokus bermain CSGO,” kata Narinpal ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada pagi tadi sebelum berlepas ke Valencia, Sepanyol bagi menghadiri kejohanan itu.

Tambah Narin lagi, meski Orange Sphynx dilabel sebagai satu pasukan underdog (pasukan bukan pilihan), Orange Sphynx akan sentiasa berikan yang terbaik.

“Tekanan sepatutnya jatuh kepada Dignitas Female, kami tiada tekanan. Bagi kami, membawa nama Malaysia dan berada di tahap ini untuk industri e-sukan, sudah menjadi satu pencapaian yang baik.

“Kami akan berikan yang terbaik,” tambah Narinpal.

Menurutnya lagi, Orange Sphynx akan menumpukan masa yang lebih untuk berehat sejurus tiba di Valencia nanti bagi mengatasi masalah lesu jet (jet lag).

“Kami akan tiba di Valencia pada tengah malam esok selepas kira-kira 21 jam waktu penerbangan.

“Saya akan paksa pasukan untuk berehat bagi mengatasi masalah lesu jet, jika tidak kami akan melakukan beberapa perbincangan strategi.

“Kami mahu bersedia pada hari kami perlu bertanding nanti,” kata Narinpal.

Pada 5 Julai nanti, Orange Sphynx bakal bertemu dengan Dignitas Female Dreamhack Showdown dalam perlawanan Best of 1 pada jam 11.00 pagi waktu tempatan.

Dignitas Female bukan satu nama asing dalam arena e-sukan CSGO wanita terutamanya. 

Sebelum ini mereka pernah memenangi kejohanan Inter Challenge Katowice 2019, GIRL GAMER Esports Festival 2018 dan Inter Challenge Katowice 2018.

Selain bakal berdepan dengan Dignitas Female, Orange Sphynx yang berada dalam kumpulan A, akan berdepan dengan pasukan Assassins dan Team iDemo di mana kedua-dua pasukan ini layak ke Dreamhack Showdown selepas melepasi kelayakan Eropah.

Meski dilihat sebagai satu cabaran besar buat Orange Sphynx, tetapi tiada apa yang mustahil bagi pasukan tanah air ini kerana mereka sering melakukan kejutan demi kejutan yang sentiasa membanggakan rakyat dan peminat e-sukan tanah air.

Dreamhack Showdown merupakan satu kejohanan e-sukan yang meraikan pemain-pemain wanita dari seluruh dunia dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM400,000.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved