Connect with us

General

#DHShowdown: Orange Sphynx tewas 16-2 dengan Dignitas

Published

on

Kapten pasukan Orange Sphynx Ramona Azween (gambar) ketika menentang pasukan Dignitas seketika tadi. - Foto paparan skrin Twitch / Dreamhack CSGO

PASUKAN CSGO wanita tanah air Orange Sphynx tewas 16-2 kepada pasukan Dignitas Female dalam pusingan Best of 1, peringkat kumpulan A bagi Kejohanan Dreamhack Showdown seketika tadi.

Perlawanan yang bermula pada jam 11 pagi waktu tempatan itu menyaksikan Orange Sphynx terpaksa akur untuk berada di peringkat lower bracket selepas kalah dalam peta Train tadi.

Sebelum perlawanan bermula, Orange Sphynx memilih untuk ban peta Nuke, Overpass dan Inferno. Sementara Dignitas Female memilih untuk ban Dust II, Mirage dan Vertigo.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Fira València melihatkan Dignitas Female menguasi sejak awal perlawanan.

Semuanya berlaku dengan sangat pantas, sehingga Dignitas mendahului 5-0 dalam peta tersebut.

Kehadiran pemain baharu dalam pasukan Dignitas, iaitu Melisa Mundorff (Theia) yang berusia 20 tahun turut dilihat memberi kelebihan kepada pasukan tersebut apabila mendominasi awal permainan.

Keadaan tersebut turut memaksa Orange Sphynx untuk mengambil masa berehat taktikal selepas ketinggalan 0-5.

Pada perlawanan ke-enam itu diliihat seolah-olah langit bakal cerah buat Orange Sphynx apabila kaptennya Ramona Azween beraksi dengan baik apabila terlibat dalam pertembungan 1vs2.

Pada pusingan ke-enam itu menyaksikan Ramona yang bermain sebagai terrorist berjaya memasang bom meski hanya tinggal dia sahaja seorang dalam Orange Sphynx ketika itu.

Ramona juga sempat mematikan pemain Emmalee Garrido (EMUHLEET) dan Carolyn Noquez (artStar) dalam pusingan itu.

Orange Sphynx dilihat kembali boleh bernafas menentang juara GIRL GAMER Esports Festival 2018 itu selepas mengutip mata kedua selepas itu.

Namun usaha Orange Sphynx mungkin belum cukup kuat untuk menewaskan Diginitas Female apabila mereka terus mengutip mata demi mata dan menang 16-2 dalam perlawanan Best of 1 itu.

Kekalahan itu tidak bermakna perjalanan Orange Sphynx telah tamat apabila mereka mempunyai satu lagi peluang esok pada jam lima petang waktu Malaysia di pusingan lower bracket.

Percaya kepada kami, Malaysia

Susulan tamat perlawanan itu, Ramona ada memuat naik ciapan yang mengharapkan agar rakyat Malaysia tidak berputus asa dengan Orange Sphynx.

“Minta maaf kerana kami dibelasah teruk dalam perlawanan pertama kami. Kami bersedia untuk berjuang untuk anda lagi esok.

“Saya berharap kami masih ada kepercayaan anda lagi, Malaysia,” katanya.

Selain Ramona, Orange Sphynx terdiri daripada pemain-pemain muda berbakat besar, iaitu:

  • Aisya Sabrina Binti Sabri (Argent)
  • Iffah Nazurah Saidi (3ve)
  • Jasmine Christina Sim Huiyan (Jazminism)
  • Shanice Choo Xin Ru (Alaska)

Selain bakal berdepan dengan Dignitas Female, Orange Sphynx yang berada dalam kumpulan A, akan berdepan dengan pasukan Copenhagen Flames dan Demise di mana kedua-dua pasukan ini layak ke Dreamhack Showdown selepas melepasi kelayakan Eropah.

Meski dilihat sebagai satu cabaran besar buat Orange Sphynx, tetapi tiada apa yang mustahil bagi pasukan tanah air ini kerana mereka sering melakukan kejutan demi kejutan yang sentiasa membanggakan rakyat dan peminat e-sukan tanah air.

Dreamhack Showdown merupakan satu kejohanan e-sukan yang meraikan pemain-pemain wanita dari seluruh dunia dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM400,000.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved