Connect with us

General

#EsportsBlueprint: Dakwaan ‘task force’ dikepalai lantikan politik tidak betul – Syed Saddiq

Published

on

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan pasukan khas (task force) yang telah ditubuhkan bagi merangka Pelan Dasar E-Sukan Negara dikepalai lantikan politik. - Foto YouTube / PARLIMEN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan pasukan khas (task force) yang telah ditubuhkan bagi merangka Pelan Dasar E-Sukan Negara dikepalai lantikan politik.

Beliau berkata pasukan khas tersebut terdiri daripada pakar-pakar industri e-sukan yang tersendiri.

“Kalau kita lihat, pasukan khas ini adalah seperti struktur horizontal, di mana mereka terdiri daripada pakar-pakar dalam industri yang tersendiri.

“Ada wakil atlet, wakil persatuan dan wakil industri untuk memastikan bahawa pandangan yang diberikan adalah pandangan yang menyeluruh.

“Dalam masa yang sama, kita telah mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama semua pihak supaya setiap pandangan akan diambil kira dalam perangkaan pelan dasar e-sukan,” kata Syed Saddiq.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah dalam satu sesi Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Menurut Mohd Shahar, ada pihak mendakwa pasukan khas tersebut diketuai oleh pegawai Syed Saddiq sendiri, menerusi lantikan politik.

“Kalau dakwaan ini benar-benar berlaku, ia merupakan satu perkara unprecedented (tidak pernah berlaku) kerana selalunya pasukan khas diketuai Ketua Setiausaha (KSU) atau pegawai-pegawai eksekutif kanan kementerian,” kata Mohd Shahar.

Syed Saddiq bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Pada Mac lalu, Syed Saddiq mengumumkan satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi merangka pelan dasar e-sukan itu.

Beliau berkata dalam rangkaan pelan dasar tersebut turut berkait rapat dengan mengenal pasti infrastruktur yang perlu disediakan bagi memastikan e-sukan dapat diperluaskan kepada kawasan sasaran termasuk golongan luar bandar.

Syed Saddiq turut mengumumkan lima keutamaan strategik bagi rangka tindakan pembangunan e-sukan tersebut iaitu:

  • Ke arah kecemerlangan e-sukan;
  • Sokongan pertumbuhan industri e-sukan;
  • Akses kepada kemudahan e-sukan yang lebih baik untuk menarik pelabur;
  • Membentuk kesedaran awam dan mempromosikan gaya hidup bermain permainan video yang lebih bertanggungjawab;
  • Memupuk tadbir urus dan pentadbiran yang baik dalam industri e-sukan.
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WTM Media Sdn. Bhd. Company No: 202501057013 (1658419-U) All Rights Reserved