Connect with us

General

Agihan peruntukan e-sukan Belanjawan 2019 baru lulus minggu ini

Published

on

"Saya akan cuba sebaik mungkin," kata Syed Saddiq ketika menjawab persoalan Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Nancy Shukri mengenai hal ehwal e-sukan di Sarawak. - Foto YouTube / PARLIMEN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Pengagihan peruntukan e-sukan Belanjawan 2019 baru mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada minggu ini, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM5 juta telah diluluskan untuk diagihkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan RM5 juta untuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Pada tahun lepas memang ada belanjawan khas sebanyak RM10 juta untuk diperuntukan dalam bidang e-sukan tapi dana tersebut diturunkan kepada agensi lain, bukan kepada KBS.

“Akhirnya dalam minggu ini, pengagihan RM5 juta telah diberikan kepada MDEC dan RM5 juta juga telah diluluskan kepada KBS.

“Saya juga telah memberikan maklum balas kepada Kementerian Kewangan supaya perkara ini tidak berulang lagi dalam Belanjawan 2020 kerana KBS perlu melatih atlet pada waktu awal, bukan sahaja apabila tiba bulan Oktober,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Nancy Shukri dalam satu sesi Dewan Rakyat di Parlimen semalam.

Nancy Shukri berkata Sarawak telah mengangkat e-sukan sebagai salah satu komponen dalam Sukan Sarawak 2019.

Lantaran itu, Nancy Shukri bertanyakan kepada Syed Saddiq sama ada KBS dapat membantu dalam memberi sokongan kepada usaha ini untuk menjadikan acara itu lebih berprestij di peringkat antarabangsa.

Bagi menjawab persoalan itu, Syed Saddiq berkata salah satu penekanan khusus KBS adalah untuk mengagihkan dana di peringkat luar bandar, di Sabah dan Sarawak.

“Melalui (acara) Esports Tourism Visit Sarawak, ada peruntukan akan diturunkan.  Saya juga faham peruntukan secara one-off (pemberian sekali) memang tidak mencukupi dan perlu ditambah,” katanya.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, menerusi kelulusan pengagihan peruntukan itu KBS akan mencuba sebaik mungkin dalam membantu semua negeri dalam hal pembangunan e-sukan.

“Saya akan cuba sebaik mungkin, jika ada permohonan dari Nancy Shukri. Nancy Shukri juga adalah mentor dari dahulu lagi. Saya doakan yang terbaik,” katanya.

Pada November 2018, dalam satu pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk pembangunan e-sukan.

Jelasnya, dana berkenaan akan disalurkan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

MDEC adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved