Connect with us

General

#SukanSEA2019: Tiada arahan jelas dalam bentuk ‘hitam dan putih’ dari KBS – ESKL

Published

on

HISHAM: Kenyataan ini saya buat atas dasar prinsip dan untuk menyatakan fakta dan kebenaran berkaitan perihal yang sedang dan telah berlaku di dalam persatuan e-sukan di Malaysia. - Foto Facebook / ESKL

KUALA LUMPUR – Persatuan e-sukan negeri tidak mendapat satu garis panduan dan ketetapan masa yang khusus daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) dalam menjalankan Acara Sesi Kelayakan Pemilihat Atlet E-sukan Negara ke Sukan SEA 2019 baru-baru ini.

Presiden Persatuan Sukan Elektonik Kuala Lumpur (ESKL) Hisham Darus berkata ia berikutan pihak mereka tidak mendapat arahan jelas dalam bentuk hitam dan putih sama ada dalam bentuk kewangan, sokongan bertulis dan kemudahan fasiliti daripada kementerian.

“Namun kami sedaya upaya melaksanakan program yang diarahkan secara lisan oleh pegawai yang bertanggungjawab gugusan (cluster) e-sukan.

“Jadi atas rasa tanggungjawab kepada persatuan dan penggiat e-sukan tanah air, kami telah mengadakan sesi kelayakan peringkat negeri masing-masing dengan jayanya tanpa mendapat elaun, makan dan minum kepada ahli jawatankuasa dan para peserta yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Sukan SEA: Kosong, ESM masih belum terima sebarang peruntukan daripada KBS

Beliau juga berkata persatuan induk iaitu Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) dan semua persatuan peringkat negeri masih tidak menerima sebarang bantuan kewangan dan sokongan daripada KBS ataupun dari agensi-agensi dibawahnya.

Jelasnya, segala bentuk kewangan bagi melangsungkan acara itu adalah berdasarkan inisiatif tajaan, sumbangan dan ihsan dari pihak swasta.

Dalam kenyataan yang sama, Hisham menjelaskan persatuan e-sukan terdiri daripada sukarelawan yang tidak mendapat sebarang gaji dan elaun dari kerajaan pusat atau negeri.

Lantaran itu, beliau kecewa apabila pihak persatuan dikatakan dipandang hina dan menerima persepsi negatif dalam kalangan masyarakat ketika ini yang kononnya mereka telah mendapat jutaan ringgit daripada pihak kementerian.

“Kenyataan ini saya buat atas dasar prinsip dan untuk menyatakan fakta dan kebenaran berkaitan perihal yang sedang dan telah berlaku di dalam persatuan e-sukan di Malaysia,” katanya lagi.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved