Connect with us

General

#SukanSEA2019 : Saya tidak dijemput, hanya sekadar menonton – Syed Abdullah

Published

on

Syed Abdullah Syed Abdul Rahman berkata dia hanya sekadar menonton perlawanan dan memberi sokongan ketika menghadiri Sesi Kelayakan Peringkat Akhir bagi Pemilihan Atlet E-Sukan ke Sukan SEA pada 3 dan 4 Mei - Foto Facebook / ESM

SHAH ALAM – Abang kepada kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman menafikan dia dijemput untuk menghadiri Sesi Kelayakan Peringkat Akhir bagi Pemilihan Atlet E-Sukan ke Sukan SEA pada 3 dan 4 Mei lepas.

Syed Abdullah berkata kehadirannya pada acara tersebut adalah hanya sekadar menonton perlawanan dan memberi sokongan kepada e-sukan.

“Saya tidak dijemput. Saya hanya berada di situ untuk menyokong e-sukan dan Dota 2. Saya datang untuk memberi sokongan kepada kawan-kawan saya yang bermain Dota 2.

“Ini sangat keterlaluan. Saya hanya sekadar menonton perlawanan. Saya seorang pemain permainan video dan ia berlangsung di sebuah lokasi awam iaitu di sebuah pusat membeli belah,” kata Syed Abdullah dalam satu ciapan pada malam tadi.

Syed Abdullah berkata demikian sebagai reaksi kepada seorang pengguna Twitter @isasukeyell yang mempersoalkan kehadiran Syed Abdullah pada majlis sesi kelayakan tersebut sebagai kapasiti abang kepada seorang menteri.

Menerusi ciapan yang disertai beberapa paparan skrin daripada Facebook penganjur, Persatuan E-Sukan Malaysia (ESM) @isasukeyell berkata: “Salam Syed Saddiq. Yang Berusaha En Syed Abdullah, brother of Yang Berhormat Tuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Minister of Youth and Sports.

“Abang YB dijemput jadi VVIP (tetamu kehormat utama) ni atas kapasiti apa? Sebagai kapasiti abang kepada menteri KBS (Kementerian Belia dan Sukan?”

Ciapan tersebut turut mendapat perhatian Syed Saddiq yang meminta tindakan segera perlu dilakukan.

“Wow. Ini sangat menjelekkan. Menggunakan abang saya untuk mendapatkan saya.

“Tidak hairanlah ramai peminat e-sukan mengutuk perlaksanaan ESM. Saya mahu tindakan segera diambil.

“Saya mengeji kronisme dan mengheret abang saya (dalam situasi ini) adalah satu tindakan murah,” kata Syed Saddiq dalam satu ciapan balas.

Dalam ciapan itu, Syed Saddiq turut menggesa pegawainya Luqman Long untuk mengambil tindakan dan memaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Pada Jumaat dan Sabtu lalu, satu majlis Grand Final Sesi Kelayakan Peringkat Akhir bagi Pemilihan Atlet E-Sukan ke Sukan SEA anjuran ESM telah berlangsung di Central i-City, di sini.

Ia merupakan sebahagian daripada acara pemilihan atlet ke Sukan SEA yang bakal bertempat di Filipina nanti pada November.

Sebanyak lima acara e-sukan akan dipertandingkan dalam temasya Sukan SEA iaitu:

  • Defence of the Ancients (Dota 2)
  • Starcraft II
  • Mobile Legends 
  • Arena of Valor
  • Tekken 7

Pusingan pemilihan tersebut dianjurkan ESM dan mendapat sokongan daripada KBS serta Majlis Sukan Negara (MSN).

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved