Mobile Legends
Walaupun saya public, saya nak tunjuk saya boleh bagi saingan – Tenka

KUALA LUMPUR – “Saya nak tunjuk walapun saya public (pemain awam, tiada pengalaman pro), saya akan terus bagi saingan.”
Itu kata pemain Roamer, Team Secret, Tenka, apabila ditanya adakah posisinya dalam barisan utama akan dikekalkan pada minggu hadapan dalam Liga Profesional Mobile Legends Malaysia (MPL Malaysia) Musim Ke-12 2023.
Jelas Tenka, dia akan bersaing dengan kedatangan Roamer baharu Team Secret.
“Saya mahu mengekalkan posisi saya,” kata Tenka yang penuh bersemangat.
Dia berkata demikian dalam satu sidang media pasca perlawanan antara Team Secret menentang Selangor Red Giants.
Sementara itu, Tenka turut berkongsikan yang dia tidak mempunyai pengalaman secara profesional sebelum ini.
“Pada mulanya, saya bermain secara suka-suka.
“Saya sertai acara pencarian pemain oleh Team Secret, tak sangka akan dapat.
“Saya juga rasa gembira,” tambah Tenka.
Debut Tenka pada semalam sememangnya memberikan satu nafas baru kepada Team Secret untuk terus bersaing dalam MPL Malaysia.
Team Secret catat sejarah tersendiri apabila akhirnya berjaya meraih mata pertama MPL Malaysia sepanjang penglibatan sejak musim ke-11.
Pasukan itu bagaimanapun tewas 1-2 kepada Selangor Red Giants.
Selepas 3 perlawanan dimainkan, Team Secret kini mempunyai 1 mata dan berada di kedudukan nombor lapan liga ketika ini.