Connect with us

PUBG Mobile

“Saya sokong Amypro sepenuh hati, walau di mana dia pergi, saya minta dia berjaya” – Bapa

Published

on

Foto: WTM / MARIAH AHMAD

KUALA LUMPUR – Bapa kepada pemain profesional PUBG Mobile Muhammad Aiman Hafizi Ahmad (Amypro), Ahmad Sidin memberi sokongan penuh terhadap anaknya yang ingin memberi fokus kepada arena kompetitif e-sukan.

Ahmad berkata apa yang diinginkan adalah untuk melihat anaknya berjaya dalam apa juga bidang yang dipilih.

“Saya menyokong dia dengan sepenuh hati. Walau apa jalan yang dipilih, saya minta dia berjaya. Itu sahaja,” kata Ahmad secara ringkas ketika ditanya mengenai pilihan Amypro yang ingin terus menjadi pemain profesional PUBG Mobile selepas sah mendapat sijil kewarganegaraan pada Selasa lalu.

Jelasnya, dia sangat gembira dan seronok apabila akhirnya anaknya mendapat pengiktirafan kewarganegaraan.

BACA: Amypro AROV Esports akhirnya dapat sijil warganegara Malaysia

Ahmad Sidin gembira apabila anaknya mendapat kewarganegaraan pada minggu lalu. – Foto: WTM / MARIAH AHMAD

Menurut Ahmad, walaupun dia pernah terdetik untuk berputus asa selepas kira-kira 10 tahun menunggu untuk mendapat pengiktirafan itu, dia tetap mahu mahu berusaha demi anaknya yang tercinta.

“Bila rasa mahu putus asa, saya terkenang anak saya dan terus berusaha.

“Kita tidak boleh biarkan begitu sahaja. Saya harap, bagi mana-mana ibu bapa yang mengambil anak angkat, minta kerajaan untuk mempercepatkan permohonan.

“Perkara ini sangat penting, kalau kita buat tidak endah, rugi masa depan anak-anak,” kata Ahmad.

Ahmad dalam masa yang sama melahirkan rasa kesyukuran dan penghargaan bagi setiap pihak yang terlibat dalam usaha mendapatkan kewarganegaraan Aiman.

“Saya rasa seronok bila anak saya sudah dapat kewarganegaraan. Saya berterima kasih kepada pihak yang membantu kami, media, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang membantu kami. Selepas kira-kira lapan hingga 10 tahun, baru kes ini selesai, terim kasih,” kata Ahmad.

BACA: Aiman tidak mahu isu warganegara jadi penghalang, mahu berjaya seperti Soloz

Pada minggu lalu, Amypro akhirnya berjaya mendapatkan sijil kewarganegaraan Malaysia. Permohonan kedua Amypro untuk mendapat status kewarganegaraan itu telah mendapat kelulusan kerajaan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Kes Amypro mula mendapat perhatian ramai apabila terpaksa mengosongkan slotnya ke Liga PUBG Mobile Club Open (PMCO) Asia Tenggara Musim luruh kerana ketiadaan pasport dan kad pengenalan.

Pada Januari 2019, Amypro bersama pasukan AROV Esports menyertai Kejohanan PUBG Mobile Malaysia National Championship (PMNC) 2018 di Sunway Velocity, Cheras, Kuala Lumpur.

Pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM60,000 (AS$14,400), Amypro dan AROV Esports berjaya meraih tempat kedua terbaik di Malaysia yang seterusnya melayakkan diri ke Liga PMCO Asia Tenggara Musim Bunga 2019 di Shanghai, China.

Pada Julai 2019, Amypro bersama pasukan AROV Esports sekali lagi menyertai PMNC di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM114,000 (AS$28,500), Amypro dan AROV Esports turut berjaya meraih tempat kedua terbaik di Malaysia yang seterusnya melayakkan diri ke Liga PMCO Asia Tenggara Musim Luruh 2019 di Shanghai, China. Kejohanan itu menawarkan AS$66,000 (RM274,00).

Kesulitan yang dilalui Amypro juga pernah mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya, Steven Sim dan aktivis Kanak-Kanak Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Datuk Dr Hartini Zainuddin.

Usaha mendapat kewarganegaraan dengan pertolongan peguam, aktivis hak kanak-kanak

Sejak umur 10 hari, Amypro tinggal bersama keluarga angkat selepas ditinggalkan ibu kandungnya yang merupakan warganegara Indonesia. Difahamkan bapa kandung Amypro sudah meninggal dunia.

Amypro membesar dengan tidak mempunyai kad pengenalan dan hanya bergantung kepada surat beranak.

Amypro dan keluarga turut berusaha untuk memohon taraf warganegara Malaysia untuk mendapatkan kad pengenalannya.

Permohonannya yang pertama pada 2012 untuk menjadi warganegara Malaysia telah gagal apabila ditolak pada tahun 2015 tanpa dinyatakan sebab yang lebih lanjut.

Pada Mei 2017, Amypro yang ketika itu berusia 17 tahun melakukan permohonan kedua.

Amypro kemudiannya ke Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya pada Mac 2019, untuk mengetahui status permohonan.

Pihak JPN menyatakan dalam satu surat “Semak dan Kirim ke Kementerian Dalam Negeri KDN (29/8/2018).

Pada 30 Jun yang lalu, Amypro mengemukakan permohonan semakan kehakiman menerusi peguamnya peguam New Sin Yew dan Chin Yuen Xin dari Tetuan AmerBON bagi mendapatkan statusnya yang tidak diketahui ketika itu.

Permohonan itu menamakan Pendaftar Kelahiran dan Kematian, Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Permohonan kedua Amypro untuk mendapat status kewarganegaraan itu telah mendapat kelulusan kerajaan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Pada 5 Ogos, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Amypro itu.

Namun pada 18 Ogos yang lalu, pihak peguam Amypro telah menerima surat dari Jabatan Peguam Negara yang menyatakan Kementerian Dalam Negeri telah meluluskan permohonan kewarganegaraan Amypro pada Januari.

Dalam surat yang bertarikh 9 Januari itu dan ditujukan kepada bapa Amypro, Ahmad Sidin yang tinggal di Perak, menyatakan pihak Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan keputusan permohonan kewarganegaraan.

Surat itu juga menulis dan meminta Ahmad untuk mengambil surat keputusan tersebut di Kementerian Dalam Negeri.

Amypro kemudiannya memohon untuk mendapatkan sijil kewarganegaraan itu pada 28 Ogos dan telah menerimanya pada semalam.

Amypro turut memohon pendaftaran kad pengenalan pada minggu lalu, dan dijangka akan siap dalam masa satu sehingga tiga bulan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved