Connect with us

PUBG Mobile

Amypro AROV Esports akhirnya dapat sijil warganegara Malaysia

Published

on

Foto: WTM Today / MARIAH AHMAD

PUTARAJAYA – Atlet e-sukan PUBG Mobile AROV Esports, Muhammad Aiman Hafizi Ahmad (Amypro) akhirnya berjaya mendapatkan sijil kewarganegaraan Malaysia pada petang semalam.

Permohonan kedua Amypro untuk mendapat status kewarganegaraan itu telah mendapat kelulusan kerajaan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berasa terharu dan sangat bersyukur kerana lapan tahun saya menunggu permohonan ini dari umur saya 12 tahun.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang tidak pernah penat membantu saya untuk mendapatkan kewarganegaraan ini.

“Saya sangat terhutang budi,” kata Amypro ketika ditemui media di perkarangan Jabatan Pendaftaran Negara di sini pada semalam.

Amypro yang turut ditemani keluarganya dari Taiping mengambil sijil kewarganegaraan itu di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya selepas mendaftar pada 25 Ogos yang lalu.

Jelas Amypro, antara perkara pertama yang dia ingin lakukan selepas mendapat sijil kewarganegaraan itu adalah dengan meneruskan kerjayanya sebagai pemain profesional e-sukan.

BACA: Aiman tidak mahu isu warganegara jadi penghalang, mahu berjaya seperti Soloz

Kes Amypro mula mendapat perhatian ramai pada Ogos tahun lalu apabila terpaksa mengosongkan slotnya ke Liga PUBG Mobile Club Open (PMCO) Asia Tenggara Musim luruh kerana ketiadaan pasport dan kad pengenalan.

BACA: PMCO: Impian Aiman AROV ke pentas antarabangsa terkubur kali kedua

Kesulitan yang dilalui Amypro juga pernah mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya, Steven Sim dan aktivis Kanak-Kanak Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Datuk Dr Hartini Zainuddin.

Amypro bukan satu nama asing dalam dunia PUBG Mobile Malaysia.

Pada Januari 2019, Amypro bersama pasukan AROV Esports menyertai Kejohanan PUBG Mobile Malaysia National Championship (PMNC) 2018 di Sunway Velocity, Cheras, Kuala Lumpur.

Pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM60,000 (AS$14,400), Amypro dan AROV Esports berjaya meraih tempat kedua terbaik di Malaysia yang seterusnya melayakkan diri ke Liga PMCO Asia Tenggara Musim Bunga 2019 di Shanghai, China.

Pada Julai 2019, Amypro bersama pasukan AROV Esports sekali lagi menyertai PMNC di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM114,000 (AS$28,500), Amypro dan AROV Esports turut berjaya meraih tempat kedua terbaik di Malaysia yang seterusnya melayakkan diri ke Liga PMCO Asia Tenggara Musim Luruh 2019 di Shanghai, China. Kejohanan itu menawarkan AS$66,000 (RM274,00).

Namun Amypro tidak dapat menyertai ke kedua-dua kejohanan antarabangsa itu kerana masalah kewarganegaraan yang dihadapinya ketika itu.

“Apa yang saya akan buat selepas ini adalah untuk kembali bermain e-sukan secara kompetitif dan mencari peluang lagi untuk bermain di luar negara.

“Saya juga ingin meneruskan pengajian dan mencari kerja,”tambah Amypro.

Sejak umur 10 hari, Amypro tinggal bersama keluarga angkat selepas ditinggalkan ibu kandungnya yang merupakan warganegara Indonesia. Difahamkan bapa kandung Amypro sudah meninggal dunia.

Amypro membesar dengan tidak mempunyai kad pengenalan dan hanya bergantung kepada surat beranak.

Amypro dan keluarga turut berusaha untuk memohon taraf warganegara Malaysia untuk mendapatkan kad pengenalannya.

Permohonannya yang pertama pada 2012 untuk menjadi warganegara Malaysia telah gagal apabila ditolak pada tahun 2015 tanpa dinyatakan sebab yang lebih lanjut.

Pada Mei 2017, Amypro yang ketika itu berusia 17 tahun melakukan permohonan kedua.

Amypro kemudiannya ke Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya pada Mac 2019, untuk mengetahui status permohonan.

Pihak JPN menyatakan dalam satu surat “Semak dan Kirim ke Kementerian Dalam Negeri KDN (29/8/2018).

Pada 30 Jun yang lalu, Amypro mengemukakan permohonan semakan kehakiman menerusi peguamnya peguam New Sin Yew dan Chin Yuen Xin dari Tetuan AmerBON bagi mendapatkan statusnya yang tidak diketahui ketika itu.

Permohonan itu menamakan Pendaftar Kelahiran dan Kematian, Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Permohonan itu dilakukan agar satu pengisytiharaan status kewarganegaraan Amypro dilakukan berdasarkan undang-undang yang ditetapkan supaya dia dibenarkan memiliki kad pengenalan negara ini.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Amypro turut memohon beberapa relif termasuk deklarasi bahawa dia merupakan warganegara Malaysia melalui perlaksanaan undang-undang selaras menurut Perkara 14(1)(b) yang dibaca bersama Seksyen 1 (a) dan 1 (e) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

Jadual Kedua-Bahagian II Perlembagaan Persekutuan adalah mengenai kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang bagi orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia.

Bagi Seksyen 1: Orang yang berikut yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu
(a) tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara atau bermastautin secara tetap di Persekutuan;
(e) tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini.

Pada 5 Ogos, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Amypro itu.

Namun pada 18 Ogos yang lalu, pihak peguam Amypro telah menerima surat dari Jabatan Peguam Negara yang menyatakan Kementerian Dalam Negeri telah meluluskan permohonan kewarganegaraan Amypro pada Januari.

Dalam surat yang bertarikh 9 Januari itu dan ditujukan kepada bapa Amypro, Ahmad Sidin yang tinggal di Perak, menyatakan pihak Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan keputusan permohonan kewarganegaraan.

Surat itu juga menulis dan meminta Ahmad untuk mengambil surat keputusan tersebut di Kementerian Dalam Negeri.

Amypro kemudiannya memohon untuk mendapatkan sijil kewarganegaraan itu pada 28 Ogos dan telah menerimanya pada semalam.

Amypro turut memohon pendaftaran kad pengenalan pada semalam, dan dijangka akan siap dalam masa satu sehingga tiga bulan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved