Connect with us

PUBG Mobile

Aiman tidak mahu isu warganegara jadi penghalang, mahu berjaya seperti Soloz

Published

on

Dua kali Aiman Hafizi layak ke Liga Asia Tenggara PUBG Mobile PMCO pada tahun lalu namun dia tidak dapat menyertainya berikutan masalah kewarganegaraannya. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

E-SUKAN sebagai satu karier yang boleh menjamin masa hadapan.

Itu impian pemain kompetitif bagi pasukan PUBG Mobile tanah air, AROV Esports, Muhammad Aiman Hafizi Ahmad.

Aiman berkata hasrat itu disimpan sejak dia berada di bangku sekolah lagi selepas dia mengenali dunia kompetitif permainan video.

“Pada tingkatan empat, saya mula muat turun permainan video Rules of Survival (ROS). Selepas beberapa bulan, saya mula menyertai kejohanan e-sukan itu.

“Kemudian saya beralih ke PUBG Mobile dan dari situ saya mengenali Khairunnazri Masli (Boyka). Boyka membentuk satu pasukan yang dinamakan AROV Esports dan kami menyertai beberapa kejohanan peringkat negara.

“Dua kali kami meraih kejayaan di peringkat PMNC dan mendapat kedudukan 5 terbaik di Malaysia yang seterusnya menjadikan AROV Esports layak ke Liga PMCO Asia Tenggara. Namun memang menyedihkan apabila saya tidak dapat pergi untuk kedua-duanya,” kata Aiman kepada What’s The Meta Today.

BACA: Impian Aiman AROV ke pentas antarabangsa terkubur kali kedua

BACA: “Ini tidak sepatutnya berlaku” – Syed Saddiq

Aiman tidak dapat menyertai ke kedua-dua kejohanan antarabangsa itu kerana masalah kewarganegaraannya yang dihadapinya sehingga hari ini.

Sejak umur 10 hari, dia tinggal bersama keluarga angkat selepas ditinggalkan ibu kandungnya yang merupakan warganegara Indonesia. Difahamkan bapa kandung Aiman sudah meninggal dunia.

Sehingga hari ini, Aiman masih tidak mempunyai kad pengenalan dan hanya bergantung kepada surat beranak. Aiman dan keluarga turut berusaha untuk memohon taraf warganegara Malaysia untuk mendapatkan kad pengenalannya.

Permohonannya yang pertama untuk menjadi warganegara Malaysia telah gagal pada beberapa tahun yang lalu.

Dia sudah memohon kali kedua pada 2017 dan masih menunggu jawapan sehingga hari ini.

Aiman berkata meski apa yang terjadi, dia masih mahu menjadi pemain profesional e-sukan.

“Saya memang mahukan e-sukan sebagai kerjaya saya namun sekarang ada satu ‘dinding’ yang menjadi penghalang, iaitu masalah kewarganegaraan ini.

“Saya mahu musnahkan ‘dinding’ ini untuk masa hadapan saya dalam e-sukan,” kat Aiman.

Jelas Aiman, dia mahu berjaya menjadi seperti pemain profesional Team Bosskurr, Faris Zakaria (Soloz).

“Ramai orang meminati Soloz ketika dia dan Team Bosskurr sedang senang dan kaya tapi saya tidak tengok perkara itu. Saya mengikuti perkembangan mereka sejak Team Bosskurr susah lagi dan jatuh bangun mereka dalam e-sukan.

“Mereka memberi inspirasi kepada saya, untuk terus berusaha keras dan mencuba sebaik boleh untuk mengecapi impian dalam e-sukan.

“Mereka juga memberi contoh, bahawa dengan kekuatan sokongan kawan-kawan mereka boleh ke tahap yang lebih tinggi dan meraih kejayaan bersama,” tambah Aiman.

BACA: Kena pandai bersyukur dan sentiasa rendah diri – Daddyhood

Kes Aiman kini sedang mendapat perhatian aktivis Kanak-Kanak Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Datuk Dr Hartini Zainuddin.

Menurut Hartini, permohonan Aiman pada 2018 peluang terakhirnya untuk memohon taraf kewarganegaraan di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Pendaftaran Kewarganegaraan Dalam Keadaan Khas kerana dia akan mencecah usia 20 tahun pada Ogos nanti.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved