Connect with us

PUBG Mobile

PMCO: Impian Aiman AROV ke pentas antarabangsa terkubur kali kedua

Published

on

Aiman (dua dari kanan) bersama AROV Esports berjaya mendapat tempat kedua pada PMNC lalu dan sekali gus layak ke PMCO Asia Tenggara Fall Split 2019 pada September nanti. - Foto Facebook / Boyka Gaming

KUALA LUMPUR – Hasrat pemain kompetitif bagi pasukan kompetitif PUBG Mobile AROV Esports (AROV), Muhammad Aiman Hafizi Ahmad, untuk ke Liga PMCO Asia Tenggara Fall Split (PMCO) 2019 mungkin tidak tercapai berikutan beberapa masalah dokumen yang dihadapinya.

Pengurus pasukan AROV, Danial Rusli berkata ia berikutan Muhamad Aiman tidak mempunyai pasport dan kad pengenalan diri.

“Aiman tidak mempunyai kad pengenalan diri. Dokumen yang dia ada sekarang hanyalah salinan surat beranak. Jika dia mahu ke PMCO, dia perlu buat pasport. Tapi pasport pun tidak boleh buat kerana tiada kad pengenalan.

“Kami juga telah berhubung dengan pihak berkaitan mengenai isu ini, namun ada pegawai berkata proses perkara ini akan mengambil masa tiga sehingga lima tahun,” katanya ketika dihubungi What’s The Meta.

Sebelum ini, Danial berkata, Muhammad Aiman juga layak ke PMCO pada musim lalu namun tidak dapat menyertai kerana sebab yang sama.

“Selama ini memang dia hidup dengan salinan surat beranak dan sudah beberapa kali berjumpa dengan jabatan pendaftaran negeri. Namun masih tiada jawapan yang kukuh.”

Pada PMNC 2019 yang diadakan pada Julai lalu,  AROV berjaya mendapat tempat kedua dan sekali gus layak ke PMCO Asia Tenggara Fall Split 2019 pada September nanti.

Pada Mei lalu, AROV juga merupakan antara pasukan Malaysia yang layak ke Liga PMCO Asia Tenggara Spring Split, Shanghai China.

Sementara itu, Danial juga berkata dia mengharapkan mana-mana pihak tampil ke hadapan dan meringankan urusan Aiman demi mencapai cita-cita dan impiannya sebagai pemain e-sukan yang profesional.

“Aiman kini sedang berbincang dengan keluarganya untuk proses yang seterusnya.

“Setakat ini Aiman memang tidak boleh beraksi kerana masalah dokumen berkenaan. 

“Saya harap jika ada pihak berkaitan yang sudi menolong memudahkan urusan ini, supaya Aiman dapat berpeluang beraksi di pentas dunia,”tambah Danial.

Barisan AROV untuk PMCO Asia Tenggara Fall Split adalah termasuk AROVxMrR88, AROVxJenny dan AROVxPutra. Pengganti Aiman akan diumum kelak.


© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved