Connect with us

PUBG Mobile

“Ini tidak sepatutnya berlaku” – Syed Saddiq

Published

on

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan situasi yang dihadapi pemain kompetitif PUBG Mobile Muhammad Aiman Hafizi Ahmad tidak sepatutnya berlaku. - Foto fail Facebook / Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Situasi yang dihadapi pemain kompetitif PUBG Mobile bagi pasukan AROV Esports (AROV) Muhammad Aiman Hafizi Ahmad yang terpaksa mengosongkan slotnya untuk ke Liga PMCO Asia Tenggara Fall Split (PMCO) mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu ciapan di Twitter rasminya berkata situasi yang dihadapi Muhammad Aiman tidak sepatutnya berlaku.

Lantaran itu, beliau meminta pegawai-pegawainya untuk menghubungi pihak Aiman bagi membantu perkara tersebut.

Situasi Muhammad Aiman sebelum itu turut mendapat perhatian Timbalan KBS, Steven Sim Chee Keong.

Katanya, pihaknya akan menghubungi pengurus pasukan AROV untuk tindakan yang selanjutnya.

Sebelum ini, What’s The Meta melaporkan mengenai situasi Muhammad Aiman atau senang dikenali sebagai Amypro dalam gelanggang maya yang terpaksa melupakan hasratnya untuk ke PMCO berhubung kekurangan dokumen berkaitan yang dihadapinya.

Menurut pengurus pasukan AROV, Danial Rusli, Muhamad Aiman yang berusia 19 tahun tidak mempunyai pasport dan kad pengenalan diri.

“Aiman tidak mempunyai kad pengenalan diri. Dokumen yang dia ada sekarang hanyalah salinan surat beranak. Jika dia mahu ke PMCO, dia perlu buat pasport. Tapi pasport pun tidak boleh buat kerana tiada kad pengenalan.

“Kami juga telah berhubung dengan pihak berkaitan mengenai isu ini, namun ada pegawai berkata proses perkara ini akan mengambil masa tiga sehingga lima tahun,” katanya.

Pada PMNC 2019 yang diadakan pada Julai lalu,  AROV berjaya mendapat tempat kedua dan sekali gus layak ke PMCO Asia Tenggara Fall Split 2019 pada September nanti.

Pada Mei lalu, AROV juga merupakan antara pasukan Malaysia yang layak ke Liga PMCO Asia Tenggara Spring Split, Shanghai China.

Namun, Muhammad Aiman tidak dapat menyertai kedua-dua liga tersebut kerana masalah dokumen diri yang dihadapinya.

Pengganti Aiman bagi PMCO Asia Tenggara Fall Split akan diumum kelak.

Setakat ini barisan pemain AROV yang akan bertanding bagi liga itu adalah termasuk AROVxMrR88, AROVxJenny dan AROVxPutra.

PMCO Asia Tenggara Fall Split dijangka berlangsung pada 15 September sehingga 10 Oktober nanti di Shanghai, China.

Kejohanan yang disertai 24 pasukan terbaik dari seluruh negara Asia Tenggara itu menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM130,000.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved