Connect with us

PUBG Mobile

Tidak mahu toleh belakang, Bapak Ah Esports mahu fokus PMCO

Published

on

HANYA TINGGAL SEJARAH. Kelima-lima pemain Junior Talent tidak lagi bersama organisasi tersebut dan menubuhkan pasukan tersendiri, Bapak Ah Esports. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

KUALA LUMPUR – Selepas digugurkan dari organisasi e-sukan Junior Talent baru-baru ini, lima bekas pemain pasukan itu membuat keputusan untuk memberi tumpuan penuh kepada Liga Asia Tenggara PMCO Fall Split 2019 sebagai pasukan baharu yang dikenali sebagai Bapak Ah Esports.

Kapten Bapak Ah Esports, Mohamad Nazeri Shahrin Affan (Trixnity) berkata walaupun Junior Talent tidak lagi mengurus mereka sebagai satu pasukan, dia menghargai segala sokongan organisasi tersebut sebelum ini.

“Urusan kami dengan mereka (Junior Talent) telah pun selesai dan sekarang saya mahu pasukan saya memberi fokus untuk masa hadapan.

“Meski kami tidak lagi bersama Junior Talent, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka sebagai satu organisasi dan teruskan membantu dan menyokong pasukan-pasukan kecil yang lain,” katanya ketika dihubungi What’s The Meta baru-baru ini.

Pada Khamis lalu, Junior Talent secara rasmi mengumumkan Trixnity, Ngah, Bard, Azfar dan Erynn tidak lagi bersama organisasi tersebut.

 “Walaupun mereka tidak lagi di bawah organisasi Junior Talent, kami sentiasa berharap mereka akan terus berjuang demi negara dan keluarga. 

“Semoga berjaya Bapak Ah Esports di Kelayakan Asia Tenggara PMCO,” katanya.

Pada 1 Julai yang lalu, bekas kapten Junior Talent NorFarah Shahira  Miss Far, mengumumkan dia telah meninggalkan pasukan tersebut selepas Liga Asia Tenggara PUBG musim lalu tamat.

Sementara itu, Bapak Ah Esports sekali layak ke liga tersebut yang akan berlangsung mulai bulan ini selepas berjaya meraih tempat ketiga pada Kejohanan PUBG Mobile Malaysia.

Dalam liga PMCO, mereka berada dalam kumpulan maut bersama-sama dengan juara PMCO Spring Split Asia Tenggara RRQ Athena (Thailand), juara PUBG Mobile Indonesia 2019, Evos Esports, Purple Mood E-Sport (Thailand) dan ILLUMINATE.

Mengulas mengenai kekuatan pasukan-pasukan itu, Trixnity berkata : “Ia bagus bagi kami kerana Bapak Ah Esports tidak boleh begitu selesa dalam e-sukan ini.

“Saya harap kami dapat menyusaikan diri corak permainan kami apabila menentang mereka.”

PMCO Fall Split 2019 akan bermula 17 September ini sehingga 10 Oktober nanti.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved