Connect with us

PUBG Mobile

Isu Ban: PUBG Corp akan ambil alih pengurusan, penerbitan PUBG Mobile di India dari Tencent Games

Published

on

Foto: PUBG Mobile

BERIKUTAN situasi aplikasi PUBG Mobile yang diharamkan di India baru-baru ini, PUBG Corporation membuat keputusan tidak lagi membenarkan Tencent Games menerbitkan francais PUBG Mobile di negara itu.

Menurut PUBG Corporation, pihaknya telah membuat keputusan untuk mengambil alih urusan dan tanggungjawab penerbitan yang berkaitan di india.

“PUBG Corporation sentiasa mencari jalan untuk memberikan pengalaman bermain PUBG yang tersendiri di India pada masa akan datang dan kami komited (untuk mengambil alih penerbitan PUBG Mobile) dengan mengekalkan persekitaran permainan yang sihat untuk peminat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: PUBG Mobile diharamkan di India: Pemain akur, hormati keputusan kerajaan

PUBG Mobile merupakan versi mudah alih PLAYERUNKNOWN’S BATTLEGROUNDS (PUBG), iaitu harta intelek yang dimiliki dan dibangunkan oleh syarikat gaming Korea Selatan, PUBG Corporation.

Pada 2 September lalu, kerajaan India telah mengharamkan aplikasi PUBG Mobile di negara itu bersama 117 aplikasi yang lain.

Menurut Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat India aplikasi-aplikasi itu dilarang untuk digunakan menurut Seksyen 69A Akta Teknologi Maklumat kerana dilihat akan memudarat keselamatan dan kententeraman negara itu.

Sementara itu, PUBG Corporation berkata pihaknya memahami dan menghormati tindakan yang dilakukan kerajaan India dan meletakkan keselamatan dan privasi pemain sebagai keutamaan.

“PUBG Corporation sentiasa memantau keadaan terkini yang berkaitan pengharaman PUBG Mobile Nordic Map: Livik dan PUBG MOBILE Lite di India.

“PUBG Mobile telah menerima banyak sokongan dari pemain-pemain pengguna itu dan kami ingin merakamkan penghargaan untuk semangat yang ditonjolkan komuniti di India.

“PUBG Corporation juga akan bekerjasama dengan kerajaan India untuk mencari penyelesaian yang membenarkan pemain untuk kembali bermain, seiring dengan peraturan dan undang-undang negara itu,” tambah PUBG Corporation.

PUBG Corporation berkata pihaknya sedang meneroka pelbagai cara untuk berhubung dengan komuniti PUBG Mobile India menerusi beberapa aktiviti termasuk acara e-sukan.

PUBG Mobile merupakan antara e-sukan popular di Asia, dengan 50 juta pemain aktif setiap hari dicatatkan termasuk pengguna di India.

India juga mempunyai beberapa pasukan dan pemain tersohor dalam e-sukan itu seperti TSM Entity, Fnatic, Team Soul dan Orange Rock.

Negara itu telah menjalankan Kejohanan PUBG Mobile Club Open India pada 12-30 Ogos yang lalu.

5 pasukan teratas bagi kejohanan India itu telah melayakkan diri ke Liga Profesional PUBG Mobile Asia Selatan Musim (PMPL SA) Kedua yang dijangka akan berlangsung bulan ini.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved