PUBG Mobile
“Saya pilih tempat yang tenang untuk bekerja” – Vokey

KUALA LUMPUR – Pemain profesional PUBG Mobile, Muhammad Imran Rosli (Vokey) tidak mengharapkan apa-apa melainkan ketenangan untuk bekerja sebagai seorang pemain.
Vokey berkata ketenangan di tempat kerja menjadi faktor utama untuk dirinya berkhidmat dalam sesebuah pasukan e-sukan, bukannya gaji.
“Saya berharap Axis RedOne dapat menjaga pemain dengan betul sebab kadang-kadang ada sahaja pihak pengurusan yang akan mengambil kesempatan.
“Saya pilih Axis RedOne bukan sekadar gaji.
“Saya pun berkhidmat tanpa gaji sebab gaji saya dah cukup. Yang penting tenang, itu sahaja,” kata Vokey kepada WTM Today baru-baru ini.
Dia berkata demikian ketika ditanya WTM Today, apakah menjadi sebab utama pemindahannya ke Axis RedOne memandangkan ura-ura sebelum ini dia akan menyertai pasukan-pasukan besar seperti Geek Fam dan Homebois.
BACA: “Vokey memang ada tryout dengan Homebois, tapi…”
Bekas pemain RSG itu, telah menyertai skuad Axis RedOne secara rasmi pada 26 Julai.
Dia juga berkata, meski Axis RedOne dilihat seperti skuad kecil, ia tidak bermakna orang ramai boleh memandang remeh.
“Ramai sibuk nak masuk skuad besar sampai lihat skuad kecil macam tiada masa hadapan.
“Bermain untuk skuad besar tak semestinya anda akan selesa untuk bermain,” tambah Vokey.
Vokey juga berkata dia tidak kisah jika Axis RedOne menang atau kalah, yang penting sudah berikan yang terbaik.
Sebelum ini, Vokey telah menyertai RSG sejak akhir tahun 2019 dan telah melibatkan diri dalam pelbagai acara rasmi PUBG Mobile termasuk Liga Profesional Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) selama tiga musim.
Antara pencapaian tertingginya sepanjang bersama RSG termasuklah memenangi Grand Final PMPL MYSG Musim Ketiga 2021.
Menerusi kemenangan itu, Vokey dan RSG mara ke SEA Final S3 2021 buat kali pertama.
Selain bergelar seorang pemain e-sukan profesional, Vokey juga merupakan seorang penghibur penstriman langsung popular tanah air dengan rekod lebih 2 juta pengikut di media sosial.