Connect with us

PUBG Mobile

Kami mahu winning streak sehingga akhir tahun – Jangs

Published

on

Foto: WTM Today / MARIAH AHMAD

JURULATIH pasukan gergasi PUBG Mobile Bigetron Red Aliens (Bigetron RA) Muhammad Farhan Abdul Gafar (Jangs) mensasarkan untuk mengutip piala demi piala kemenangan dalam kejohanan yang disertainya pada tahun ini.

Jangs berkata setiap pemainnya ketika ini mempunyai nilai kerjasama yang sangat baik.

“Saya memang mahu Bigetron RA memenangi setiap pertandingan yang kami sertai dan pemain-pemain setuju dengan perkara itu. 

“Mereka juga mempunyai harapan tinggi dengan sasaran itu. Sekarang saya akan ke Indonesia untuk melaksanakan rancangan-rancangan kami,” kata Jangs.

BACA: Kehadiran Jangs beri impak besar Bigetron RA – Ryzen

Jangs berkata demikian dalam satu temu bual bersama WTM Today di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada minggu lalu.

Jangs kini sudah pun tiba di lokasi penempatan pemain-pemain Bigetron RA di Indonesia bagi membantu pasukan itu menghadapi Liga Profesional PUBG Mobile Indonesia Musim Ketiga (PMPL ID S3) 2021. 

BACA: Jangs pintar, bersemangat tinggi -CEO Bigetron

Bigetron RA bukan sahaja satu nama gergasi dalam arena PUBG Mobile di Indonesia namun pasukan itu juga telah menempa nama tersendiri di peringkat Asia Tenggara dan dunia.

Antara pencapaian tertinggi Bigetron RA termasuklah Juara Kejohanan Dunia PUBG Mobile Club Open Musim Luruh 2019, Juara peringkat liga PMPL ID S2 2020, Juara peringkat akhir PMPL Asia Tenggara S2 2020 dan Juara Liga Dunia PUBG Mobile Musim Zero (Timur) 2020.

Sementara itu, Jangs mengakui merasai tekanan menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih Bigetron RA.

Namun begitu, dia yakin mampu mencapai kejayaan dalam arena e-sukan ini dengan redha dan berkat daripadaNya.

“Umum mengetahui Bigetron RA adalah juara dunia, jadi ia dilihat sebagai satu tanggungjawab yang lebih besar. Namun kita boleh berjaya dengan lebih cepat sebab kita menggalas tanggungjawab yang lebih besar.

“Selain itu, saya bukan sahaja menjalankan tanggungjawab untuk Bigetron RA tapi saya juga membawa nama Malaysia sebagai jurulatih untuk Bigetron RA.

“Tanggungjawab ini memang berat tapi InsyaAllah saya boleh lakukannya,”tambah Jangs dalam temu bual yang sama.

Bigetron RA ketika ini sedang bersaing di peringkat Grand Final PMPL ID S3 yang memasuki hari terakhir hari ini.

Meski sudah pasti menerima slot mutlak ke peringkat akhir PMPL Asia Tenggara Musim Ketiga (SEA Final S3) 2021, pasukan itu tidak mengambil mudah dan tetap memberi saingan hebat.

Berbaki lagi enam pusingan, pasukan itu kini berada di ranking ketiga dengan catatan 129 mata ketika ini.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved