Connect with us

PUBG Mobile

“Ada pengumuman jam 9 malam nanti” – BiuBiu

Published

on

Foto: WTM Today / MARIAH AHMAD

KUALA LUMPUR – Satu pengumuman dijangka akan dilakukan berhubung perkembangan terkini mengenai pemain profesional PUBG Mobile Team Secret MY, Jiunn Jie Kow (BiuBiu).

“Penantian telah berakhir.

“Pada jam 9 malam nanti akan ada satu pengumuman dan saya juga akan melakukan satu penstriman langsung pendek selama limat minit. Nantikan,” kata BiuBiu dalam satu catatan di Facebook pada petang Rabu.

BiuBiu bagaimana pun tidak menjelaskan secara lanjut mengenai butiran pengumuman itu.

Sebelum ini, pemain yang menetap di Melaka itu dilihat tidak beraksi dalam satu pusingan sekali pun sepanjang Liga Profesional Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua berlangsung meski dia tersenarai dalam barisan utama Team Secret MY.

Dalam kejohanan liga terbesar di Malaysia dan Singapura itu, Team Secret MY berjaya pertahankan gelaran juara pada peringkat Grand Final dan meraih tempat pertama pada peringkat liga.

Team Secret MY juga berjaya mendapatkan slot ke peringkat Grand Final PMPL Asia Tenggara Musim Kedua 2020 (SEA Final) yang dijangka akan berlangsung akhir bulan depan.

Sebelum ini, BiuBiu pernah berkongsikan menerusi penstriman langsungnya bahawa dia tidak akan bermain dalam PMPL MYSG Musim Kedua walaupun tiada kenyataan rasmi dari pihak Team Secret MY sama ada dia akan direhatkan di bangku simpanan.

Pada pertengahan Ogos yang lalu, pasukan Team Secret MY menghadapi konflik dalaman sehingga Ketua Pegawai Eksekutif Organisasi E-sukan Antarabangsa Team Secret, John Yao memohon peminat-peminat menghormati privasi BiuBiu dan pengurus Partibhan Petchayappen (OntheGo).

Konflik itu tercetus dan mendapat perhatian dalam kalangan komuniti e-sukan tanah air apabila BiuBiu yang memegang tanggungjawab sebagai kapten pasukan, tidak bermain secara kerap pada Liga Profesional PUBG Mobile (PMWL) Timur Musim Zero yang diadakan pada Julai sehingga Ogos lalu.

Dalam kejuaraan itu, Team Secret berada di kedudukan nombor 15 dari 16 pasukan yang bertanding.

BiuBiu merupakan antara pemain tersohor PUBG Mobile di Asia Tenggara dan pernah menjadi pemain e-sukan Malaysia yang tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila meraih Jumlah Tontonan Bagi Sebuah Video E-Sukan Terbanyak di YouTube.

Pemberian pengiktirafan itu adalah untuk membantu menaikkan nama wira-wira tempatan termasuk pemain dan jenama e-sukan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved