Connect with us

PUBG Mobile

“Soloz nak tolong kami macam dia pernah dibantu dulu,” – Superboi Anti Circle

Published

on

Pemain-pemain Anti Circle Noxxy (kiri) dan Superboi (kanan) bersama Soloz.

TIADA perasaan yang dapat diungkapkan bagi pemain profesional PUBG Mobile Shah Rizuan Mohamad Shaari (Superboi) apabila diberi peluang untuk bernaung di bawah nama penghibur penstriman langsung Facebook Gaming Nombor 1 Malaysia, Mohd Faris Zakaria (Soloz) menerusi skuad Anti Circle.

Superboi yang sebelum ini bersama pasukan Marlino berjaya meraih tempat kesembilan dalam Grand Final Liga Profesional Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua tanpa mendapat sebarang tajaan seperti gaji bulanan atau bantuan dari segi fasiliti.

“Perasaan saya memang tidak dapat nak digambarkan. Gembira bercampur dengan rasa gementar membawa nama Soloz.

“Soloz kata dia mahu bantu kami sama seperti dia pernah dibantu dulu ketika keadaannya sama seperti kami sekarang ini.

“Dia cakap, apa yang terjadi kepada kami, dia dan rakan-rakannya pernah melaluinya dahulu. Jadi dia tahu bagaimana susahnya keadaan kami,” kata Superboi ketika dihubungi WTM Today hari ini.

BACA: “Takde sponsor, takde gaming house, kami cuba naik slow-slow” – MARLINO

Lantaran itu, Superboi berkata Soloz mahu membantu dia dan rakan-rakannya di Anti Circle sama seperti Kedai Aksesori Telefon Pintar Al-Ikhlas Gadget pernah membantu Soloz sebelum ini.

Menurut Superboi, dia dan rakan-rakan Anti Circle pernah mengadakan pertemuan dengan Soloz dan pengasas organisasi Team Bosskurr Nureddy Nursal (Daddyhood) seminggu sebelum Grand Final PMPL MYSG Musim Kedua.

“Kami bertemu Soloz dan Daddyhood menerusi kenalan lama kami dari Marlino, Alif Haikal Roslan (Sam) yang ketika ini bermain untuk Team Bosskur.

“Daddy beritahu Sam bahawa dia ingin berjumpa dengan kami,” tambah Superboi.

Jelas Superboi lagi, dia dan rakan-rakan Anti Circle juga pernah mendapat tawaran dari beberapa pihak selain Soloz.

Namun dia memilih untuk bersama Soloz kerana ketetapan syarat yang ditawarakan lebih fleksible untuk dirinya dan rakan-rakan.

“Tawaran dari Soloz memang paling sesuai untuk kami kerana syarat-syarat untuk menyertainya tidak terlalu ketat memandangkan ada di antara kami masih bekerja sepenuh masa dan ada yang sudah berkeluarga,” kata Superboi.

Selain Superboi, barisan utama Anti Circle terdiri daripada Rosandi Hadi Ahmad Nawawi (Noxxy), Ikmal Hidayat Mohd Rais (SniperMan) dan Nazrul Amirul Mohamed Radzi (BeeN).

Dari kiri: Pemain-pemain Anti Circle iaitu Noxxy, Sniperman, Superboi, Been bersama pengasas pasukan Soloz.

Sebelum ini kesemua pemain itu berjaya melayakkan diri ke liga berprestij PMPL MYSG Musim Kedua selepas meraih tempat keempat dalam Kejohanan PUBG Mobile Malaysia 2020 pada Julai lalu.

Mereka juga berjaya melayakkan diri ke Grand Final PMPL MYSG Musim Kedua dan menjadi pasukan kesembilan terbaik di Malaysia dan Singapura.

Pada peringkat Grand Final itu, pemain-pemain tersebut mengutip 124 mata secara keseluruhan dengan satu Chicken Dinner.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved