PUBG Mobile
Soloz taja bekas pemain Marlino, tubuh skuad Anti Circle

KUALA LUMPUR – Penghibur penstriman langsung Facebook Gaming Nombor 1 Malaysia, Mohd Faris Zakaria (Soloz) hari ini mengumumkan akan menaja bekas-bekas pemain pasukan Marlino menerusi penubuhan skuad PUBG Mobile baharu yang dikenali sebagai Anti Circle.
Soloz berkata keputusan memberi tajaan kepada pemain-pemain tersebut adalah berikutan potensi dan bakat besar yang ada dalam finalis Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua itu.
“Pemain-pemain tersebut mempunyai potensi dan semangat yang tinggi untuk mendapatkan kemenangan dan itu membuatkan saya berminat untuk menaja pasukan ini.
“Menerusi Anti Circle, setiap pemain akan diberikan gaji tetap pada setiap bulan, fasiliti dan beberapa aspek berkaitan yang akan ditambahbaik,” kata Soloz dalam satu temu bual eksklusif bersama WTM Today pada hari ini.
Pengumuman Soloz itu sekali gus menjawab persoalan dalam kalangan komuniti e-sukan PUBG Mobile tanah air apabila sebelum ini dia seolah-olah memberi petunjuk akan menerajui sebuah pasukan baharu ketika dijemput untuk mengulas Grand Final PMPL MYSG Musim Kedua pada Jumaat lalu.

Bekas-bekas pemain Marlino yang menyertai skuad Soloz iaitu Anti Circle terdiri daripada:
- Rosandi Hadi Ahmad Nawawi (Noxxy)
- Shah Rizuan Mohamad Shaari (SuperBoi)
- Ikmal Hidayat Mohd Rais (SniperMan)
- Nazrul Amirul Mohamed Radzi (BeeN)
Sebelum ini kesemua pemain itu berjaya melayakkan diri ke liga berprestij PMPL MYSG Musim Kedua selepas meraih tempat keempat dalam Kejohanan PUBG Mobile Malaysia 2020 pada Julai lalu.
BACA: “Takde sponsor, takde gaming house, kami cuba naik slow-slow” – MARLINO
Mereka juga berjaya melayakkan diri ke Grand Final PMPL MYSG Musim Kedua dan menjadi pasukan kesembilan terbaik di Malaysia dan Singapura.
Pada peringkat Grand Final itu, pemain-pemain tersebut mengutip 124 mata secara keseluruhan dengan satu Chicken Dinner.
Pingback: Soloz forms Anti Circle squad with former Marlino roster – eGG Network