Connect with us

PUBG Mobile

BiuBiu keluar Team Secret MY, rehat dari arena kompetitif

Published

on

Foto: WTM Today / Mariah Ahmad

KUALA LUMPUR – Pemain profesional PUBG Mobile Jiunn Jie Kow (BiuBiu) mengumumkan akan berehat dari arena kompetitif e-sukan itu.

BiuBiu juga berkata, dia akan meninggalkan pasukan Nombor 1 Malaysia, Team Secret MY secara rasmi mulai hari ini.

“Ramai yang sudah mengetahui perkara ini sejak sebulan yang lalu. Cuma pengumuman rasmi akan dilakukan pada hari ini.

“Saya secara rasmi tidak lagi akan bermain dalam arena kompetitif dan tidak lagi bersama Team Secret MY.

“Saya berterima kasih kepada Team Secret MY untuk segala apa yang mereka lakukan,” kata BiuBiu dalam satu penstriman langsung di Facebooknya seketika tadi.

Menurut BiuBiu, dia tidak akan bermain atau menyertai apa-apa acara kompetitif dalam masa terdekat.

Dalam pengumuman yang dilakukan menerusi video penstriman langsung selama lapan minit tujuh saat itu, BiuBiu juga merakamkan penghargaan kepada setiap penyokong dan peminat yang mengikuti perjalanannya sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak tahu nak cakap apa. Terima kasih yang bersama dengan saya sejak awal lagi, ketika saya mula-mula memuat naik video di YouTube pada 2018.

“Ia satu pengalaman yang sangat bermakna. Saya juga berasa positif mengenai perkara ini,”kata pemain berusia 23 tahun itu.

BiuBiu merupakan antara pemain tersohor PUBG Mobile di Asia Tenggara dan pernah menjadi pemain e-sukan Malaysia pertama yang tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila meraih Jumlah Tontonan Bagi Sebuah Video E-Sukan Terbanyak di YouTube.

Dia mula menyertai Team Secret MY sejak awal tahun 2019. Antara pencapaian BiuBiu dalam arena kompetitif PUBG Mobile termasuk:

  • Tempat pertama Liga PMCO Musim Bunga (Kelayakan Malaysia) 2019
  • Tempat pertama Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Pertama 2020
  • Tempat kelima SEA Final Musim Pertama 2020
  • Tempat pertama Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua 2020

BiuBiu juga berjaya mewakili Malaysia ke kejohanan dunia sperti Final Global PMCO Musim Bunga 2019 dan Liga Dunia PUBG Mobile (PMWL) Timur Musim Zero pada Julai lalu.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved