Connect with us

PUBG Mobile

Soultan bertanggungjawab dengan tingkah lakunya – SEM9

Published

on

Foto: Facebook / Soultan

KUALA LUMPUR – Organisasi e-sukan tempatan, SEM9 telah mengambil tindakan untuk salah satu ahlinya, Fawwaz Sehaimi (Soultan).

Soultan merupakan penganalisis untuk skuad PUBG Mobile SEM9, yang dikenali sebagai SEM9 Gank.

Tidak mengulas secara terperinci mengenai tindakan yang diambil, SEM9 berkata Soultan bertanggungjawab dengan tingkah laku yang tidak boleh diterima pihaknya kerana gagal sebagai hos penstriman langsung.

Jelasnya, Soultan gagal untuk menghentikan komen-komen yang tidak bertanggungjawab dan mengambil tindakan yang sewajarnya semasa penstriman langsung dilakukan.

“SEM9 sama sekali tidak bertoleransi dengan komen-komen yang tidak sopan terhadap NorFarah Shahira (Miss Farr).

“Perkara ini telah disiasat dan tindakan segera telah diambil oleh pihak kami.

“Sebagai organisasi, kewujudan kami adalah untuk membantu memupuk persekitaran esports yang selamat,” kata SEM9 dalam satu kenyataan.

SEM9 juga berkata pihaknya kesal dan memohon maaf kepada Miss Farr dan seluruh komuniti atas kejadian yang tidak diingini itu.

“Kami komited dan telah mengambil iktibar dari peristiwa ini agar kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi,” tambah SEM9.

Baru-baru ini tular klip video penstriman langsung yang dipercayai milik penganalisis Soultan.

Penstriman langsung itu melibatkan perbualan Discord beberapa pemain profesional, pengulas profesional, pengurus pasukan profesional dan personaliti e-sukan tempatan yang kini sedang menyertai Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura Musim Keempat (PMPL MYSG S4) 2021.

Antaranya termasuklah, pemain Team SMG, Mohamad Nazeri Shahrin Affan (Trixnity), pengulas e-sukan yang juga duta Team Secret, Mohamad Hilmi Mohamad (Emi), Pengurus Operasi RSG Malaysia, Aiman Wafiy Roslan dan ramai lagi.

Perbualan dalam penstriman langsung itu dipercayai mempunyai komen-komen atau kata-kata berunsur seksual terhadap Miss Farr.

Miss Farr bagaimanapun telah membuat laporan polis terhadap siaran penstriman langsung Soultan itu dan percakapan Trixnity itu.

Baca: Gangguan Seksual: Miss Farr buat laporan polis

Miss Farr juga berkata Trixnity ada menghubunginya untuk meminta maaf dan telah memadamkan rakaman penstriman langsung itu.

Sementara itu, Emi, Soultan Aiman Wafiy juga telah melakukan permohonan maaf kepada Miss Farr menerusi kenyataan di media sosial masing-masing pada hari ini.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved