Connect with us

PUBG Mobile

Miss Farr berani, bukan mudah mangsa mahu bela diri – Yana Samsudin

Published

on

Foto: Facebook / Yana Samsudin

KUALA LUMPUR – Tindakan NorFarah Shahira (Miss Farr) membuat laporan polis adalah satu perkara yang berani kata pemilik pasukan e-sukan YSX Esports, Yana Samsudin.

Yana berkata bukan mudah bagi mangsa gangguan seksual mahu memberanikan diri dan membela diri untuk keadilannya sendiri.

“Orang yang buat perkara itu adalah orang yang memang dekat dengan dia dan ia dilakukan secara beramai-ramai dalam tontonan umum.

“Sepatutnya, siapa yang gelak, dia perlu bertanggungjawab dengan meminta maaf secara terbuka juga sebab Miss Farr sudah malu kerana diketawakan secara beramai-ramai dan terbuka.

“Hal ini juga salah berdasarkan polisi profesionalisme pemain dan penganjur siaran langsung itu,” kata Yana ketika dihubungi WTM Today hari ini.

Jelas Yana lagi, perkara berkaitan gangguan seksual dan sindir badan boleh berlaku di mana-mana dan ia bukan satu bahan jenaka.

“Gangguan seksual bukan hal kecil dan tidak mengira jantina. Ia boleh merosakkan bangsa dan negara. 

“Jangan menjadikan gangguan seksual sebagai satu perkara yang boleh dibiasakan,” tambah Yana.

Baru-baru ini tular klip video penstriman langsung yang dipercayai milik penganalisis SEM9 Gank, Fawwaz Sehaimi (Soultan).

Penstriman langsung itu melibatkan perbualan Discord beberapa pemain profesional, pengulas profesional, pengurus pasukan profesional dan personaliti e-sukan tempatan yang kini sedang menyertai Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura Musim Keempat (PMPL MYSG S4) 2021.

Antaranya termasuklah, pemain Team SMG, Mohamad Nazeri Shahrin Affan (Trixnity), pengulas e-sukan yang juga duta Team Secret, Mohamad Hilmi Mohamad (Emi), Pengurus Operasi RSG Malaysia, Aiman Wafiy Roslan dan ramai lagi.

Perbualan dalam penstriman langsung itu dipercayai mempunyai komen-komen atau kata-kata berunsur seksual terhadap Miss Farr.

Miss Farr bagaimanapun telah membuat laporan polis terhadap siaran penstriman langsung Soultan itu dan percakapan Trixnity itu.

Baca: Gangguan Seksual: Miss Farr buat laporan polis

Miss Farr juga berkata Trixnity ada menghubunginya untuk meminta maaf dan telah memadamkan rakaman penstriman langsung itu.

Sementara itu, Emi, Soultan Aiman Wafiy juga telah melakukan permohonan maaf kepada Miss Farr menerusi kenyataan di media sosial masing-masing pada hari ini.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved