Connect with us

PUBG Mobile

Gangguan Seksual: Trixnity digantung kerja, potong gaji 3 bulan

Published

on

KUALA LUMPUR – Organisasi e-sukan Asia Tenggara, Team SMG telah mengambil tindakan terhadap kapten skuad PUBG Mobilenya, Mohamad Nazeri Shahrin Affan (Trixnity) berhubung isu perbualan penstriman langsung yang dipercayai mengandungi kandungan gangguan seksual terhadap pemain kompetitif NorFarah Shahira (Miss Farr).

Team SMG berkata Trixinity akan digantung kerja dan dikeluarkan daripada barisan utama PUBG Mobile serta menerima potongan gaji selama tiga bulan.

BACA: Gangguan Seksual: Miss Farr buat laporan polis

“Kami daripada Team SMG tidak menyokong sebarang tingkah laku pemain kami ini dan kami telah mengambil tindakan yang keras terhadap mereka yang terlibat. 

“Ia tidak selaras dengan kepentingan dan harapan kami di Team SMG,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Team SMG juga memohon maaf kepada Miss Farr dan kesal dengan perbuatan Trixnity.

“Trixnity telah mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya kepada bekas rakan sepasukannya, Miss Farr.

“Kami amat kesan dengan perbuatan tersebut dan dengan ini ingin meminta maaf kepada Miss Farr, komuniti dan sesiapa yang terkesan dengan kenyataan Trixnity.

“Matlamat utama kami sebagai organisasi e-sukan adalah untuk memupuk perkembangan pemain kami bukan sahaja di dalam e-sukan sebagai pemain profesional, tetapi juga sebagai manusia yang berjaya dunia dan akhirat.

Team SMG kini sedang menyertai Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura Musim Keempat (PMPL MYSG S4) 2021.

Baru-baru ini tular klip video penstriman langsung yang dipercayai milik penganalisis SEM9 Gank, Fawwaz Sehaimi (Soultan).

Penstriman langsung itu melibatkan perbualan Discord beberapa pemain profesional, pengulas profesional, pengurus pasukan profesional dan personaliti e-sukan tempatan kini sedang menyertai PMPL MYSG S4 2021.

Antaranya termasuklah, Trixnity, pengulas e-sukan yang juga duta Team Secret, Mohamad Hilmi Mohamad (Emi), Pengurus Operasi RSG Malaysia, Aiman Wafiy Roslan dan ramai lagi.

Perbualan dalam penstriman langsung itu dipercayai mempunyai komen-komen atau kata-kata berunsur seksual terhadap Miss Farr.

Miss Farr bagaimanapun telah membuat laporan polis terhadap siaran penstriman langsung Soultan itu dan percakapan Trixnity itu.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved