Connect with us

StarCraft II 

#SukanSEA2019: Pemain veteran tarik diri kelayakan, dakwa penganjur tidak cekap

Published

on

Rambo Pang ketika menyertai WCG pada tahun 2009 - Foto Facebook / Rambo Phang

KUALA LUMPUR – Pemain kompetitif StarCraft II Pang Harn Jiunn mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menyertai pemilihan kelayakan peringkat kebangsaan ke acara e-sukan Temasya Sukan SEA Filipina 2019.

Harn Jiunn yang senang dikenali sebagai Rambo dalam arena e-sukan berkata keputusan itu dibuat berikutan tindakan penganjur yang memberi maklumat pada saat-saat akhir untuk mengadakan pusingan kelayakan peringkat kumpulan pada hari bekerja.

“Saya kecewa dan marah dengan pengurusan penganjur Sukan SEA berikutan pemberian maklumat pada saat-saat akhir yang menyebabkan ramai tidak boleh menghadirkan diri pada acara tersebut.

“Jadual pusingan peringkat kelayakan diumumkan menerusi email pada 24 April, pada jam 5.12 petang dan pusingan peringkat kumpulan berlangsung pada 29 dan 30 April bagi acara StarCraft II.

“Pihak penganjur mewujudkan kumpulan Whatsapp pada 25 April, pada jam kira-kira 5 petang untuk mendapatkan kepastian kehadiran kami selepas mendapat tahu kebanyakan daripada kami masih bekerja dan tidak boleh menyertainya,” katanya.

Rambo berkata beberapa peserta yang telah layak ke peringkat kebangsaan itu mempunyai polisi yang tegas di tempat kerja mereka.

Jelasnya mereka perlu memohon kepada majikan kira-kira lima hari sebelum mengambil cuti.

Berikutan isu pemberian maklumat pada saat-saat akhir, Rambo juga berkata ia memberi kesan pengurusan pengangkutan dan penginapan pemain yang bukan menetap di Kuala Lumpur, memandangkan pusingan peringkat kumpulan itu akan berlangsung di Orange Esports Stadium, Setapak.

“Ada yang berdepan masalah pengangkutan berikutan harga tiket kapal terbang yang tinggi dan tidak mendapat sokongan peruntukan kewangan.  

“Isu pengangkutan telah pun diutarakan namun tiada tindakan langsung untuk membantu peserta yang perlu menguruskannya secara sendiri,” tambahnya.

Rambo juga berkata dia risau jika atlet-atlet e-sukan yang berpotensi tidak dapat mewakili negara bukan kerana kekurangan skil tetapi berikutan masalah-masalah tersebut, terutama pemberian maklumat pada saat-saat akhir.

“Jika kita ingin menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan, proses pemilihan sepatutnya dirancang dengan rapi dengan merujuk dan memahami kejohanan-kejohanan sebelum ini supaya ia boleh mengurangkan masalah yang akan berlaku.

“Sebab utama isu dan kelewatan proses itu sepatutnya boleh dikenal pasti contohnya dengan menilai syarikat atau kontraktor melalui proses tender, bagi melakukan pemilihan yang betul untuk membantu memudahkan menjalankan kejohanan tersebut.

“Jika isu ini berlaku lagi pada masa akan datang, ia akan terus mengakibatkan lebih banyak kos dan masa digunakan yang kemudiannya membantutkan pembangunan e-sukan,” tambah Rambo.

Rambo mula berkecimpung dengan e-sukan StarCraft II sejak 1999 dan mula menjadi pemain profesional pada tahun 2007 apabila dia menjadi sebahagian daripada pasukan Malaysia All Stars.

Antara kejohanan yang pernah disertai Rambo adalah termasuk World Cyber Games pada tahun 2007 sehingga 2010.

Ketika ini sedang berlangsung pusingan pemilihan wakil negara untuk acara-esukan bagi Sukan SEA 2019 yang bakal bertempat di Filipina nanti pada November.

Pusingan pemilihan tersebut dianjurkan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM), dan mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).

Pusingan peringkat negeri telah pun berlangsung sejak beberapa minggu yang lalu dan pusingan Grand Final peringkat kebangsaan (kumpulan) akan berlangsung pada minggu hadapan.

Bagi StarCraft II dan Defence of the Ancients (Dota 2) akan berlangsung pada 29 April – 1 Mei di Orange Esports Stadium, Setapak, Kuala Lumpur.

Bagi acara e-sukan permua (mobile) Mobile Legends dan Arena of Valor akan berlangsung pada 29 April dan 1 Mei di Pantheon, Subang Jaya, Selangor.

Sementara itu bagi acara e-sukan Tekken 7 akan berlangsung di salah sebuah studio gaming Gamesbond pada 30 April nanti.

Grand Final acara peringkat kebangsaan tersebut akan berlangsung di Central i-City Mall pada 3-4 Mei nanti.

Setakat ini, hanya lima e-sukan tersebut yang disahkan akan dipertandingkan dalam temasyan Sukan SEA.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved