Connect with us

Mobile Legends

Mobile Legends: Komuniti Sabah lancar ‘bantuan kilat’ untuk MoonChild

Published

on

MoonChild merupakan antara pasukan Mobile Legends tempatan yang layak ke acara pemilihan wakil negara ke Temasya Sukan SEA 2019 peringkat kebangsaan. - Foto Facbeook / MoonChild

KUALA LUMPUR – Komuniti e-sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Sabah melancarkan ‘bantuan kilat’ bagi menampung dana kewangan pasukan MoonChild ke acara pemilihan atlet-atlet negara ke Temasya Sukan SEA 2019 peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Subang Jaya esok.

Menurut kapten MoonChild Mohamad Affendi Chua Abdillah usaha tersebut dilakukan sendiri oleh Hero Komuniti Sabah MLBB yang hanya mahu dikenali sebagai Kd.

“Kami baru umum untuk mendapatkan bantuan dana tersebut pada tengah hari tadi dan diuruskan sendiri oleh Kd.

“Dalam pasukan MoonChild, hanya saya sahaja yang bekerja dan pemain yang lain masih lagi bersekolah, berumur antara 16 sehingga 17 tahun. 

“Mereka masih budak sekolah, memang susah nak cari dana,” kata Mohamad Affendi ketika dihubungi WTM pada Ahad.

Mohamad Affendi berkata setakat ini mereka hanya mendapat dana kewangan yang boleh menampung kos penerbangan ke Kuala Lumpur dan akan berlepas pada jam 8.30 malam nanti.

Dia berkata pihak mereka masih lagi mengumpul dana untuk tiket penerbangan balik semula ke Sabah dan juga kos penginapan apabila berada di Kuala Lumpur nanti.

“Pihak penganjur peringkat negeri Sabah telah maklum yang kami akan menginap di sebuah lokasi di Cheras sehingga 2 Mei memandangkan jadual peringkat kumpulan bermula esok sehingga 1 Mei.

“Jika kami berada di kedudukan kedua teratas, kami akan bermain di Grand Final pada 3 dan 4 Mei.

“Bermula 2 Mei nanti kami akan minta tolong kawan-kawan di Kuala Lumpur mengenai pengurusan penginapan kami,” tambahnya.

MoonChild baru-baru ini terpilih mewakili negeri Sabah selepas berjaya mengharungi pusingan peringkat dan negeri untuk ke acara pemilihan wakil negara ke Temasya Sukan SEA 2019.

Jelas Mohamad Affendi lagi, mereka baru mendapat tahu menerusi pihak penganjur dan pengurusan acara pemilihan di peringkat negeri, bahawa pasukannya perlu menampung sendiri kos pengangkutan dan penginapan pada malam semalam.

Berikutan itu, Affendi berkata Kd berhasrat untuk melakukan inisiatif pengumpulan dana itu untuk memudahkan pengurusan MoonChild bagi menyertai acara pemilihan tersebut.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Kd memohon komuniti MLBB Sabah jika berkemampuan untuk membantu MoonChild memandangkan rata-rata pemainnya masih lagi bergelar pelajar sekolah dan tidak mempunyai sumber kewangan untuk menampung kos ke Kuala Lumpur.

“Disebabkan banyak masalah timbul untuk setiap negeri berkaitan dengan Sukan SEA, pasukan MoonChild yang mewakili Sabah bagi e-sukan MLBB turut kena tempiasnya.

“Kami kekurangan dana untuk MoonChild. Sekiranya sudi membantu, tidak kiralah berapa sekali pun kami terima,” kata Kd.

Bagi anda yang ingin membantu MoonChild boleh salurkan ke akaun Maybank “Usman Ibrahim”  5100 2252 4242  atau hubungi Kd di talian 012-5051407 untuk maklumat lanjut.

Pusingan peringkat kumpulan bagi acara Grand Final peringkat kebangsaan akan berlangsung bermula esok sehingga 1 Mei nanti.

Bagi StarCraft II dan Defence of the Ancients (Dota 2) akan berlangsung pada 29 April – 1 Mei di Orange Esports Stadium, Setapak, Kuala Lumpur.

Bagi acara e-sukan permua MLBB dan Arena of Valor akan berlangsung pada 29 April dan 1 Mei di Pantheon, Subang Jaya, Selangor.

Sementara itu bagi acara e-sukan Tekken 7 akan berlangsung di salah sebuah studio gaming Gamesbond pada 30 April nanti.

Grand Final acara peringkat kebangsaan tersebut akan berlangsung di Central i-City Mall pada 3-4 Mei nanti.

Setakat ini, hanya lima e-sukan tersebut yang disahkan akan dipertandingkan dalam temasyan Sukan SEA

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved