Connect with us

Mobile Legends

#SukanSEA2019 : Bosskurr ajak peminat bantu MoonChild

Published

on

MoonChild ketika sedang beraksi pada acara pemilihan wakil negara ke Temasya Sukan SEA yang berlangsung di Pantheon, USJ, Selangor semalam. - Foto WTM / MARIAH AHMAD

KUALA LUMPUR – Pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) popular tanah air, Bosskurr Gaming (Bosskurr) mengajak peminatnya untuk membantu pasukan Sabah, MoonChild yang sedang menyertai acara pemilihan atlet-atlet negara ke Temasya Sukan SEA 2019 peringkat kebangsaan.

Dalam satu catatan di Facebook semalam, Bosskurr berkata mereka mengharapkan jika ada pihak yang sudi membantu MoonChild yang terpaksa mencari dana kewangan sendiri untuk ke Kuala Lumpur bagi menyertai acara pemilihan itu.

“Di kesempatan ini, kami berharap ada pihak yang ingin membantu skuad Moonchild.

“Datang tempat orang sehelai sepinggang, tapi masih boleh senyum. Selamat maju jaya, MoonChild,” kata Bosskurr.

Semalam berlangsung pusingan peringkat kumpulan bagi acara pemilihan itu yang menyaksikan MoonChild berjaya berada di kedudukan enam teratas dalam 16 pasukan yang bertanding.

Sementara itu bagi Bosskurr, skuad Shopee Bosskurr dan Boss Pusher yang masing-masing mewakili Labuan dan Melaka turut berjaya ke peringkat seterusnya dan bakal bersaing di pusingan Upper Bracket pada esok.

Susulan catatan Bosskurr itu menyaksikan lebih 164 perkongsian dengan 495 komen dengan salah satunya memaparkan resit derma kepada pasukan MoonChild.

Antaranya, pengguna Facebook Norizwan Aziz memuat naik sebuah gambar transaksi wang bernilai RM150 kepada akaun yang dipertanggungjawab untuk mengurus dana kewangan MoonChild ketika ini.

Sebelum ini, komuniti e-sukan di Sabah melancarkan ‘bantuan kilat’ bagi menampung dana kewangan pasukan MoonChild, sepanjang mereka berada di Kuala Lumpur.

Pelancaran bantuan itu adalah berikutan pemberitahuan pada saat-saat akhir oleh penganjur dan pengurusan acara pemilihan iaitu pada awal pagi Ahad (sehari sebelum acara), bahawa MoonChild perlu menampung sendiri kos pengangkutan dan penginapan.

Bagi anda yang ingin membantu MoonChild boleh salurkan ke akaun Maybank “Usman Ibrahim”  5100 2252 4242  atau hubungi Hero Komuniti MLBB yang hanya mahu dikenali sebagai Kd di talian 012-5051407 untuk maklumat lanjut.

Ketika ini sedang berlangsung pusingan pemilihan wakil negara untuk acara-acara e-sukan bagi Sukan SEA 2019 yang bakal bertempat di Filipina nanti pada November.

Pusingan pemilihan tersebut dianjurkan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) dan mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved