VALORANT
Paper Rex menang bersih peringkat kumpulan, mara ke playoff Valorant Champions

GERGASI e-sukan Asia Pasifik, Paper Rex (PRX) berjaya melayakkan diri ke peringkat Playoff Kejuaraan Champions Valorant Los Angeles 2023 selepas beraksi cemerlang di peringkat kumpulan.
PRX yang bermain di peringkat kumpulan A menewaskan Edward Gaming 2-0 pada pagi tadi.
Pasukan itu memenangi pusingan Fracture 13-7 dan Pearl 16-14 ketika berlawan dengan pasukan China itu.
Sebelum ini PRX juga menang 2-0 menentang pasukan Latin Amerika KRU Esports.
Pada edisi kejohanan kali ini, PRX menurunkan semua pemain utama termasuk pemain Rusia Ilya Petrov (something).
Something sebelum ini tidak dapat beraksi di Tokyo, Jepun berikutan masalah visa.
PRX juga terdiri daripada pemain Malaysia berbakat besar, Khalish Rusyaidee (d4v41).
Kejuaraan Valorant Champions Los Angeles 2023 menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM10.2 juta (AS$2.2juta).
Peringkat playoff akan bermula pada 16 Ogos nanti dengan format Terbaik Daripada Tiga (BO3).