Connect with us

Mobile Legends

MPL:Team SMG cepat adapt meta baru, Rynn jadi MVP minggu kelima

Published

on

KUALA LUMPUR – Pasukan Mobile Legends Team SMG terus mengekalkan momentum pada minggu kelima Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura (MPL MY/SG) Musim Keenam dengan mengutip dua lagi mata kemenangan.

Meski Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) memperkenalkan kemas kini yang terbaharu sempena Projek NEXT pada minggu lalu, Team SMG dilihat mampu mengadaptasi meta-meta baharu dengan memperoleh kemenangan bergaya 2-0 ke atas juara MPL Musim Ketiga Geek Fam dan pasukan Singapura Divinity Esports pada minggu ini.

BACA: Mobile Legends: Nafas baharu Alucard, Miya menerusi projek NEXT

Dalam perlawanan itu, pemain Team SMG Muhammad Firdaus Abdul Jamil (Rynn) muncul sebagai pemain terbaik bagi setiap empat pusingan yang dipertandingkan dan seterusnya diangkat sebagai pemain terbaik minggu ini.

Menurut pihak penganjur, Moonton, meski Rynn tidak bermain dalam tiga minggu pertama liga namun kehadirannya dalam Land of Dawn sejak minggu lalu mengubah corak permainan Team SMG secara keseluruhan.

Moonton berkata Rynn menjalankan tanggungjawab yang baik sama ada sebagai pemain hypercarry atau jungler.

“Pada minggu keempat, Rynn memainkan peranannya dengan sangat baik sebagai hypercarry. Dia bermain dengan dengan bagus.

“Tambahan lagi, mutu persembahannya dalam menggalas peranan baharu sebagai jungler pada minggu kelima menunjukkan Rynn merupakan pemain penting untuk pasukannya.

“Empat kali dipilih sebagai MVP (Pemain Terbaik) secara berturut-turut dengan peranan sebagai jungler , Rynn membantu pasukan Team SMG memperbaiki kedudukan ranking dengan melonjak naik ke tangga kelima dari tangga 10 sebelum ini. Tanpa keraguan lagi, Rynn adalah pemain terbaik minggu ini,” kata Moonton.

Rynn bukan satu nama asing dalam dunia MLBB. Dia merupakan pemain profesional yang mempunyai pengalaman dalam MPL.

BACA: Saiyajinn, bapak tanker Malaya yang seterusnya

Pada tahun 2018, Rynn bersama Saiyan Reborn menjadi pasukan Malaysia yang pertama memenangi MPL selepas mengalahkan EVOS SG 3-2 pada Grand Final.

Rynn kemudiannya menyertai Axis Esports pada musim keempat dan musim kelima MPL selepas meninggalkan Reborn.

Pada musim kali ini, Rynn yang sinonim dengan penggunaan hero Lancelot menyertai Team SMG untuk meraih gelaran juara buat kali kedua.

Selain Rynn, pasukan SMG terdiri daripada Aeliff Adam Md Ariff (Smooth), Muhammad Aiqal Amran (Saiyajinn), Muhammad Zaim Amir Izat (ZaimSempoi), Muhammad Ashraf Mohd Azan (Goten) dan Saw Kee Loong (Loong.)

Pasukan itu juga mendapat khidmat jurulatih dari bekas pemain profesional, Mohamad Al Hatta (Artha) pada musim kali ini.

Team SMG akan bertarung dengan pasukan terbaik Malaysia ketika ini, Todak pada Jumaat nanti jam 3 petang dan pasukan Singapura Forsaken pada Ahad jam 4.30 petang.

Saksikan aksi Team SMG bersama pasukan-pasukan terbaik Mobile Legends di Malaysia dan Singapura bertarung secara langsung di Facebook MLBB.

MPL Musim Keenam dibawakan oleh Moonton dan Yoodo sebagai Telko Digital rasmi. WTM Today juga dipilih sebagai salah satu rakan media untuk liga berprestij ini.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved