Mobile Legends
Moonton, MPL Malaysia siasat kes Team Lunatix dan tiga pemain import dari Myanmar

KUALA LUMPUR – Pihak pembangun permainan dan penganjur Liga Profesional Mobile Legends:Bang Bang (MPL) Malaysia kini sedang menyiasat insiden antara pasukan Team Lunatix dan pemain-pemai import yang berkaitan iaitu, Hein Thu (Kid) , Kyaw Bo (Zippy), dan DJ.
Perkara itu disahkan Pengurus Kanan Penghubungan Awam MOONTON Games, Marcus Lim secara ringkas kepada media hari ini.
Marcus berkata demikian ketika ditanya media sama ada pihak liga akan mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan dan adakah akan ada tindakan susulan kepada pihak yang terbabit.
BACA: 3 Pemain ‘log out’ sebelum MPL, Lunatix rugi hampir RM10,000
Baru-baru ini timbul isu berkaitan salah satu pasukan yang menyertai MPL Malaysia Ke-12 yang akan datang iaitu, Team Lunatix dengan tiga pemain import Myanmar iaitu Kid, Zippy dan DJ.
Menurut dakwaan Team Lunatix, tiga pemain import itu telah pulang ke Myanmar secara senyap-senyap baru-baru ini.
Team Lunatix mendakwa pihaknya juga telah membayar elaun atau gaji pendahuluan hampir RM10,000 secara keseluruhan untuk ketiga-tiga pemain itu.
MPL Malaysia akan membuka tirai pada 18 Ogos nanti dan perlawanan pertama Team Lunatix akan bermula pada Sabtu, 19 Ogos menentang pasukan yang sedang meningkat naik ketika ini, Selangor Red Giants.