PUBG Mobile
Kalau dropspot kena langgar, nak lawan atau lari?
11 mata sahaja memisahkan tiga pasukan Malaysia dalam memburu slot ke Peringkat Akhir Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara Musim Ketiga (SEA Final S3).
Team Secret MY, Dingoz MPX dan Doktor Internet Taugeh Ayam masing-masing mempunyai peluang yang cerah untuk mara ke peringkat seterusnya, sekaligus menjuarai peringkat Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia Singapura (PMPL MYSG) bagi musim ketiga.
Selepas hari pertama Super Weekend 3, Dingoz MPX mendahului carta keseluruhan liga dengan 291 mata, diikuti Team Secret MY 288 mata dan DrTA 280 mata.
Persoalan utama yang harus diutarakan adalah sama ada bakal terjadinya pelanggaran lokasi mendarat (dropspot) memandangkan pengumpulan mata keseluruhan semakin sengit pada penghujung liga nanti.
Strategi ini tidak lagi asing dalam kalangan peminat PUBG Mobile, apabila pasukan Dingoz MPX dilihat menggunakan strategi tersebut pada hari terakhir Weekday 3 yang mengakibatkan penyingkiran bekas juara Asia Tenggara, Yoodo Gank daripada kelompok 16 pasukan terbaik.
Andai kata pasukan Dingoz MPX menggunakan strategi yang sama, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh pasukan pihak lawan, terutamanya Team Secret MY dan DrTA?
Logik di sebalik ‘pelanggaran’ dropspot adalah untuk melumpuhkan pergerakan dan mengurangkan jumlah anggota pemain pihak lawan ke dalam zon berikutnya.
Jika strategi itu berjaya, ia mampu menyukarkan pengumpulan mata pasukan lain secara total bagi setiap pusingan yang dipertandingkan.
Namun begitu, berbeza di peringkat Weekday 3, Dingoz MPX juga harus lebih berhati-hati dengan pilihan strategi permainan yang bakal digunakan, meskipun mempunyai perbezaan 11 mata antara Team Secret dan 19 mata antara DrTA.
Bagi peta Erangel, kawasan vital yang boleh terjadinya pelanggaran dropspot termasuklah kota Rozhok yang dipegang oleh Dingoz MPX, Pochinki yang dipegang oleh Team Secret MY manakala Sosnovka Military Base dan Severny boleh menjadi taruhan DrTA.
Bagi peta ini, sekiranya ada pasukan yang ingin mengubah dropspot untuk mengelakkan daripada sebarang pertembungan awal seperti yang dilakukan oleh pasukan Yoodo Gank, terdapat beberapa lokasi alternatif yang boleh dipilih, termasuklah perkarangan Gatka, Prison dan Lipovka yang masing-masing ditinggalkan kosong.
Bagi peta Miramar pula, sekiranya pasukan-pasukan di puncak liga ingin selamat dari keberangkalian ‘pelanggaran’ dropspot, maka kawasan Impala, Power Grid dan Valle de Mar boleh menjadi kawasan pertaruhan.
Lokasi-lokasi mendarat di atas boleh dijadikan alternatif kepada lokasi mendarat asal mereka iaitu, San Martin (Team Secret MY), La Cobreria (DrTA) dan Cruz da Valle (Dingoz MPX).
Akhir sekali, bagi peta Sanhok, kawasan Quarry, Docks dan Tambang boleh dijadikan sebagi lokasi mendarat alternatif kepada Paradise Resort (Dingoz MPX), Mongnai (Team Secret MY) dan Sahmee (DrTA), sekiranya pasukan yang berada di puncak ini ingin menukar dropspot untuk mengelakkan pertembungan awal.
Hanya berbaki enam pusingan bagi kejohanan PMPL MYSG SE, siapakah yang bakal menjuarai peringkat liga nanti, sekaligus mara ke peringkat PMPL SEA Final bagi Musim Ketiga?
Kejohanan itu menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM610,000 (AS$150,000).
Saksikan secara langsung melalui laman Youtube, Facebook atau aplikasi WeTV jam 5.30 petang hari ini.