Connect with us

Mobile Legends

“Jangan sedih, kami akan dapatkan slot utk Chesu”

Published

on

DARI KIRI: Heri, Sumo, Fufu, Mal, Eren, Ash dan Alan merupakan pemain-pemain RED Esports. Mereka berhasrat untuk mendapatkan slot MPL untuk pengurus pasukan itu, Anne Raihan atau dikenali Che Su.

TIADA apa yang dapat diukirkan melainkan senyuman kegembiraan buat Anne Raihan apabila pasukannya Red Frost berjaya melayakkan diri ke Liga Profesional Mobile Legends Malaysia (MPL MY) Musim Ketujuh pada hari ini.

Minggu lepas, Anne melalui beberapa siri drama dan konflik bersama bekas pasukannya Reborn mengenai perebutan slot ke MPL MY.

Tidak pernah sekali Anne menjangkakan perkara tersebut dan dia hanya mampu berjuang apa yang dipercayainya ketika itu.

Perjuangan Anne tidak terbalas apabila penganjur MPL MY, membuat keputusan slot itu menjadi milik Reborn berdasarkan satu borang pengisytiharaan yang telah ditandatangani.

Gugurlah air mata berdarah sekali pun, ia tidak akan menukarkan keputusan muktamad itu

Anne hanya mempunyai satu pilihan iaitu bermula dari bawah, bermula dari peringkat kelayakan.

Dia mempunyai kira-kira empat hari untuk membuat keputusan, jika dia mahu terus membakar semula semangatnya atau melenyapkan api impiannya.

Anne membuat satu keputusan drastik dengan meletakkan pemainnya Mal bersama skuad Red Esports yang lain iaitu, Red Frost.

Mereka mempunyai empat hari sahaja untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran Mal sebelum bertarung dalam pusingan kelayakan MPL itu.

Selain Mal, Red Frost mempunyai dua lagi pemain yang berpengalaman dalam liga profesional iaitu Eren dan Heri.

Sementara itu, Ash, Haru, Fufu dan Sumo sudah lama bermain dalam kejohanan-kejohanan tempatan meski tidak pernah ke peringkat profesional.

Memang keajaiban itu tidak perlu ditunggu, ia perlu diukir dan dicipta sendiri.

1706 pasukan telah mendaftar dan penganjur, Moonton mengumumkan Red Frost berjaya berada kelompok empat teratas.

Mereka semakin hampir dengan destinasi yang ingin ditujui, melangkah masuk dalam gelanggang terbesar Mobile Legends di Malaysia iaitu MPL.

Tidak menafikan keraguan dan kerisauan menguasai diri, Anne, hanya mampu menyerah diri kepadaNya.

“Tidak mengapa Che Su, kami akan mendapatkan slot ke MPL itu untuk Che Su,” kata Red Frost menutup kegelisahan Anne.

Keyakinan datang dari pengalaman, yakni pengalaman yang baik atau pun buruk.

Pasukan itu tahu, apa yang diperjuangkan selama ini perlu dilakukan dengan sebaiknya.

Inilah detik yang tidak boleh disia-siakan kerana peluang tidak akan datang kembali.

Hari ini, Red Frost berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya berdiri seiring dengan pasukan-pasukan terbaik Malaysia.

Corak permainan yang baik dan persefahaman yang kuat antara rakan-rakan sepasukan menjadikan mimpi bukan sekadar mimpi. Mimpi boleh jadi realiti jika diusahakan.

Mereka bakal menjadi pencabar bagi pasukan-pasukan jemputan, termasuk Reborn pada Mac nanti.

Gugur lagi air mata Anne, tapi kali ini air mata kesyukuran.

Dia tahu, konflik yang melandanya pada minggu lalu telah menjadi hadiah paling manis dengan kemenangan slot hari ini.

“Akhirnya, pengorbanan yang berbaloi.

“Ini adalah penantian selama dua tahun,”kata Anne, menutup perbualan perbualan bersama penulis, mengenai perjalanannya ke MPL kali ini.

Perjalanan Anne bersama Red Esports masih jauh. Melepasi peringkat kelayakan hanyalah permulaan untuk menjadi yang terbaik di dunia.

Nantikan perlawanan peringkat musim liga MPL MY yang dijangka akan bermula pada Mac nanti.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved