Mobile Legends
Dari RRQ ke SMG, ini pilihan James
KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih pasukan Indonesia RRQ, James Chen kini berkhidmat untuk pasukan Malaysia, Team SMG.
Perkara itu diumumkan oleh Pengurus Besar, Team SMG, Orrin Xu dalam satu video yang dimuatnaik di Facebook Team SMG pada semalam.
Orrin berkata perkhidmatan James amat diperlukan untuk memperbaiki mutu persembahan Team SMG.
“Pencapaian kami pada tahun lalu tidak begitu baik dan kami telah mencari jalan untuk memperbaiki pasukan kami.
“Kami bukan sahaja mencari jurulatih di Malaysia tapi di luar negara juga.
“James adalah calon yang sesuai kerana pernah melatih pasukannya yang sebelum ini sehingga menjadi juara dalam MPL dan MPLI,” kata Orrin dalam video pengumuman itu.
James sebelum ini berkhidmat untuk gergasi Indonesia RRQ dan telah membantu pasukan itu menjuarai Liga Profesional Indonesia (MPL) pada musim keenam dan Liga Profesional Jemputan (MPLI) pada tahun lalu.
Sebelum memegang portfolio sebagai jurulatih, James juga pernah bergelar seorang pemain profesional Mobile Legends dan bermain untuk RRQ.
