Connect with us

Mobile Legends

“Impian saya tercapai” – Eone

Published

on

Foto: Moonton

SANGAT GEMBIRA.

Itu perasaan yang dapat digambarkan bagi pemain profesional Mobile Legends, Muhammad Rizwan Abdullah (Eone) selepas lebih dua tahun berkhidmat bersama pasukan nombor 1 Malaysia, Todak.

Terlalu banyak kenangan bersama namun apa yang dibanggakan buat sang tanker itu adalah apabila dia terpilih untuk mewakili tanah air sebanyak dua kali ke kejuaran dunia.

“Dua kali ke kejohanan dunia adalah pencapaian yang terbaik buat saya.

“Saya tidak dapat lupakan detik M1 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

“Ramai penonton dan saya rasa impian saya sudah tercapai kerana dapat bermain di pentas yang gah dan dipenuhi orang ramai,” katanya dalam satu temu bual bersama WTM Today.

Eone mula bermain Mobile Legends selepas mendapat inspirasi dengan pencapaian adiknya, Muhammad Rifhan Mohd Rizal (Hangus).

Dia memilih untuk bermain Mobile Legends secara bersungguh-sungguh selepas mendapat tahu Hangus mewakili Malaysia di Kejohanan Mobile Legends Piala Asia Tenggara di Indonesia.

“Saya dulu main Dota 2 dan kerap ke kafe siber. Cuma bila saya sudah mula berkerja, saya jarang ke kafe siber.

“Adik saya ajak bermain Mobile Legends, yang saya menyifatkan ia seperti Dota 2 juga.

“Pada ketika itu, Hangus sudah bermain Mobile Legends dan dapat ke MSC. Bermula dari situ, saya berlatih untuk menjadi pemain profesional,” tambah Eone.

Eone dan Todak bermula dari kejohanan-kejohanan kecil seperti Kejohanan LEO 2.0 2018 dan Kejohanan Mobile Legends Geek 2019 sehingga menjadi pasukan Tier 1 di Malaysia.

Dia dan Todak mula menyertai Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia dan Singapura Musim Keempat dan meraih tempat kedua pada tahun 2019.

Pada tahun yang sama, Eone dan Todak mewakili Malaysia ke M1 dan berjaya menjadi pasukan ketiga terbaik dunia.

Selepas tiga musim MPL berlangsung, Eone telah menyuarakan hasratnya untuk bersara.

Pemilihan untuk bersara itu adalah kerana Eone mahu memberikan ruang kepada bakat-bakat baharu bertanding di peringkat profesional.

Perjalanan Eone dalam arena kompetitif mungkin telah tamat sebagai pemain profesional, tapi difahamkan dia masih akan bersama Todak dan memikul tanggungjawab baharu.

Kami di WTM Today ingin mengucapkan terima kasih kepada Eone atas segala usaha dalam menaikkan nama Malaysia dalam arena e-sukan. Semoga ia memberi inspirasi kepada komuniti dan insdutri tanah air.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved