Connect with us

PUBG Mobile

Gank tak bubar, hanya berpisah dengan Yoodo

Published

on

KUALA LUMPUR – Syarikat perkhidmatan mudah alih digital tempatan, Yoodo dan pasukan PUBG Mobile popular tanah air, Gank sah telah mengakhiri kerjasama selepas tiga tahun bersama.

Perkara itu diumumkan Yoodo dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Menurut ketua Yoodo, Chow Tuck Mun, pihaknya kekal komited dalam menyokong komuniti e-sukan cuma menyifatkan sudah tiba masanya Yoodo dan Gank mengikut haluan masing-masing selepas tiga tahun melakukan kerjasama.

“Setelah hampir tiga tahun berkembang dan mencipta kemenangan bersama, kini tiba masanya untuk Yoodo dan Gank untuk meneruskan perjuangan mengikut arah tuju pilihan masing-masing.

“Kami berbangga dengan pencapaian bersama dalam tahun-tahun yang lalu termasuklah kemenangan bersejarah di Peringkat Akhir Liga Profesional PUBG Mobile (SEA Final) pada tahun 2020.

“Yoodo kekal komited untuk menyokong komuniti e-sukan dan kami akan terus bersorak untuk pasukan Gank biarpun dari jauh,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

BACA: Malaysia terbaik di Asia Tenggara, Yoodo Gank cipta sejarah

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wulf Esports, Kevin Wong mengesahkan kepada WTM Today, bahawa pasukan itu akan menggunakan nama Gank ketika ini.

“Tiada pembubaran pasukan. Ahli-ahli pasukan masih kekal.

“Kami hanya berpisah dengan Yoodo sebagai penaja. Pemisahan adalah persetujuan kedua-dua pihak,” kata Kevin secara ringkas.

Berikut adalah barisan pemain Gank ketika ini:

  • Aiman Mohd (Man Parang)
  • Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (Draxx)
  • Lokman Hakim Abdul Saddar (Bravo)
  • Fairul Iskandar Putra (Putra)
  • Azim Haris Mohd Puhatdi (WRYDEP)

Kevin dalam satu kenyataan juga berkata dia menghargai setiap sokongan daripada Yodoo kepada pasukan itu sepanjang tiga tahun bersama.

“Sokongan berterusan dari Yoodo adalah amat bernilai bagi perkembangan pasukan.

“Kami berharap untuk terus mengharumkan nama negara dalam arena e-sukan,” tambah Kevin.

Yoodo Gank sebelum ini dikenali sebagai Gank.fty. Pasukan itu melakukan penjenamaan semula selepas menerima tajaan daripada syarikat telko itu pada 2018.

Yoodo merupakan perkhidmatan mudah alih digital bebas yang dimiliki dan dikendalikan oleh Celcom Axiata Berhad. Ia telah dilancarkan pada Januari 2018.

Selepas berpisah dengan Gank, Yoodo masih lagi menjalankan kerjasama kepada beberapa pasukan e-sukan seperti RSG (skuad Mobile Legends dan Call of Duty Mobile) dan Flash Vision untuk e-sukan Street Fighter V dan Tekken 7.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved