Connect with us

PUBG Mobile

PUBG Mobile: “Terima kasih kerana beri peluang” – Fredo

Published

on

Permulaan yang baharu bagi Fredo dalam perjalanan karier e-sukan PUBG Mobilenya - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

PEMAIN kompetitif e-sukan PUBG Mobile, Ahmad Fuad Razali (Fredo) menghargai peluang yang diberikan kepadanya untuk beraksi di kejohanan antarabangsa Peacekeeper Elite Championship 2019 baru-baru ini.

“Satu permulaan dan pengalaman yang baharu untuk saya.

“Bermain di satu pentas yang besar memang memberikan satu pengalaman yang cukup baik bagi saya.

“Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan kerana membantu dan memberi peluang kepada saya untuk bermain bersama mereka,” kata Fredo dalam satu kenyataan hari ini.

Pada hujung minggu lalu, Fredo bersama ahli-ahli Yoodo Gank yang lain iaitu Aiman Mohd (Man Parang), Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (Draxx) dan Muhamad Izzrudin Hashim (Jumper) meraih kedudukan tujuh terbaik secara keseluruhan dalam kejohanan itu dan membawa pulang kira-kira RM48,000.

Pasukan yang turut dikenali sebagai ‘Team 2020’ dalam kalangan peminat e-sukan PUBG Mobile dilihat bakal memberi sinar baharu dalam arena ini.

Sementara itu, kapten pasukan tersebut, Man Parang sebelum ini meluahkan rasa bangga dengan prestasi pasukan itu.

“Saya sangat bangga dengan rakan-rakan sepasukan saya.

“Akhirnya, berjaya juga meraih kedudukan 10 teratas di peringkat antarabangsa dan selain pasukan-pasukan China, kami dapat mata bunuh yang lebih banyak dalam kejohanan ini,” kata Man Parang.

Dalam kalangan peminat dan komuniti e-sukan PUBG Mobile, mereka mengharapkan agar barisan terkini Yoodo Gank dikekalkan berikutan prestasi mereka dalam kejohanan itu.

“Mantap Fredo untuk kejohanan pertama (antarabangsa). Boleh nampak semua boleh memainkan perananan.

“Saya harap agar barisan pemain ini dikekalkan untuk kejohanan yang akan datang nanti,” kata pengguna Facebook Muhammad Farhan.

Peacekeeper Elite International Championship yang berlangsung di Xi’an, China menyaksikan pasukan-pasukan China mendominasi sejak awal perlawanan.

Kejohanan itu telah dimenangi oleh pasukan X-Quest F yang membawa pulang hadiang wang tunai kira-kira RM648,000.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved