Connect with us

PUBG Mobile

“Bootcamp menjadi sasaran kami”- BTR S1nyo

Published

on

Selepas penyingkiran pasukan Amerika Selatan, Loops Esports dari kejohanan PUBG Mobile Global Championship (PMGC) 2020, lokasi mendarat paling hangat di Sanhok, Bootcamp bakal menjadi rebutan pasukan-pasukan dunia yang lain pada 21 Januari nanti, termasuk Bigetron Red Aliens (Bigetron RA).

Meskipun berjaya mempamerkan prestasi yang cemerlang bagi peta Sanhok sepanjang liga, pasukan jaguh dunia Bigetron RA masih tetap mahu mengorak langkah untuk meningkatkan prestasi mereka dengan mencuba untuk mendarat di kawasan Bootcamp dalam kejohanan akhir nanti.

Sepanjang peringkat liga PMGC, pasukan Bigetron Red Aliens berjaya untuk memenangi tiga daripada 24 pusingan yang dipertandingkan di peta Sanhok dengan mendarat di kawasan Camp Charlie dan penukaran-penukaran posisi dari bahagian selatan peta.

Menurut jurulatih pasukan, Steven Valerian Danilo (S1nyo), Bigetron RA akan cuba untuk meneroka kemungkinan pasukannya mendarat di Bootcamp bagi perlawanan-perlawanan Sanhok pada peringkat akhir PMGC nanti.

Foto: Youtube/ Bigetron TV

“Kami akan mencuba untuk mendarat di Bootcamp selagi tiada halangan.

“Keputusan kami untuk memilih Bootcamp sebagai lokasi mendarat akan bergantung pada jumlah pasukan yang akan mendarat di kawasan tersebut dan faktor-faktor perlawanan nanti.

“Kami akan mengambil kira hasil pertembungan antara pasukan lain sewaktu latihan-latihan persahabatan (scrim) nanti untuk membuat keputusan muktamad mengenai lokasi mendarat di Sanhok bagi pasukan kami,” jelas S1nyo dalam suatu sidang media khas Bigetron Esports.

Pasukan Bigetron Red Aliens sebelum ini terkenal dengan pilihan mereka untuk mendarat di kawasan Bootcamp apabila memilihnya di kejohanan-kejohanan berprestij seperti Liga Profesional PUBG Mobile (PMPL SEA) Asia Tenggara dan PMPL Indonesia.

Hasil daripada pertembungan menarik di Bootcamp antara pasukan pesaing, Morph Esports, peminat-peminat PUBG Mobile Indonesia sering menantikan persaingan antara kedua-dua pasukan gergasi tersebut bagi peta Sanhok.

Selain Bigetron RA, antara pasukan yang mempunyai rekod untuk mendarat di Bootcamp bagi pasukan-pasukan PMGC termasuklah pasukan Abrupt Slayers dari Nepal dan Nova XQF dari China.

Pasukan Abrupt Slayers sebelum ini dilihat memilih Bootcamp sebagai lokasi mendarat dalam kejohanan kelayakan PMGC, iaitu kejohanan PMPL Asia Selatan 2020manakala Nova XQF sebelum ini mendominasi Bootcamp dalam kejohanan PMCO Global 2019.

Antara sebab yang mungkin menjadi dorongan pasukan juara dunia Bigetron untuk memilih Bootcamp termasuklah kedudukannya yang berada di pusat peta bagi memudahkan penukaran posisi (rotasi) ke dalam zon selamat seterusnya.

Hal ini amat jelas dilihat terutamanya apabila pasukan mereka sering mengalami kesukaran apabila terpaksa memasuki zon selamat yang menutup di bahagian utara peta sewaktu mendarat di Camp Charlie (bahagian selatan peta).

Meskipun popular dalam mod permainan klasik, kawasan Bootcamp selalunya hanya akan terhad kepada satu atau dua pasukan dalam sesebuah kejohanan bagi mempersiapkan diri untuk perlawanan.

Bigetron RA yang dibarisi Made Bagas Pramudita (Zuxxy), Made Bagus Prabaswara (Luxxy), Nizar Lugatio (Microboy), Muhammad Albi (Ryzen), Leander Deusfiel (Liquid) akan bertanding dalam kejohanan PMGC pada 21 Januari hingga 24 Januari nanti di arena Coca Cola Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kejohanan PMGC akan menawarkan hadiah wang tunai terkumpul kira-kira RM8.18 juta (AS$2 juta)

Jangan lupa teliti bagaimana pasukan juara dunia mempertahankan lokasi mendarat mereka di kejohanan antarabangsa mahupun latihan persahabatan!

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved