Connect with us

PUBG Mobile

PMGC: Loops Esports langgar peraturan, A1 Esports ke final

Published

on

PENGANJUR kejohanan PUBG Mobile Global Championship (PMGC) telah mengambil tindakan tegas terhadap pasukan Brazil, Loops Esports kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan pada pusingan keempat dan kelima minggu terakhir Super Weekend yang berlangsung malam tadi.

Menurut pihak PUBG Mobile Esports, Loops Esports telah melanggar peraturan 6.1.2 kejohanan yang menyatakan : “Semua pemain perlu memberikan yang terbaik dari segi skil dan abiliti pada setiap masa kejohanan berlangsung.”

Namun menurut penganjur, perkara itu gagal ditunjukkan tiga pemain Loops Esports iaitu FederaL, Gxlden, dan Caiowski.

“Pihak PUBG Mobile Esports dan ESL telah melihat semua bukti tingkah laku yang tidak bersifat semangat kesukanan itu dan membuat kesimpulan bahawa tindakan itu melanggar tatakelakuan dan integriti kompetitif PUBG Mobile Esports,” kata penganjur dalam satu kenyataan rasmi pada pagi tadi.

Pada perlawanan Super Weekend 4 pada semalam, tiga pemain Loops Esports dilihat tidak melakukan sebarang tindakan sehingga dibunuh pemain Thailand dari RRQ Athena, G9 di Erangel.

Berikutan itu, penganjur telah mengambil tindakan dengan menarik balik slot kelayakan Grand Final Loops Esports yang sebelum ini berada di ranking ketujuh liga PMGC.

Selain kehilangan kesemua kutipan mata yang dikumpul sepanjang empat minggu liga berlangsung, penganjur juga berkata tindakan susulan akan diambil terhadap Loops Esports.

Selepas kehilangan kesemua mata dalam liga PMGC, Loops Esports secara automatik berada di ranking ke-24.

Hal ini juga membuka peluang baharu kepada pasukan Bangladesh, A1 Esports yang berada di ranking ke-17 sebelum ini untuk ke Grand Final apabila kedudukannya naik ke kelompok 16 pasukan terbaik.

Grand Final PMGC 2020 dijangka akan berlangsung pada Januari 2021, di Dubai.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved