PUBG Mobile
BiuBiu dan Team Fate juara Kejohanan Myanmar Pro 2022

KUALA LUMPUR – Pemain PUBG Mobile tanah air Jiunn Jie Kow (BiuBiu) sah kembali dalam arena kompetitif apabila menyertai dan menjuarai Kejohanan PUBG Mobile Profesional Pro Myanmar 2022 pada malam tadi bersama Team Fate.
BiuBiu yang kini kembali dalam arena kompetitif, menyifatkan kemenangan Team Fate itu adalah satu perkara yang baik.
“Pada pusingan terakhir tadi, memang satu epic comeback.
“Secara keseluruhan, (kemenangan tersebut) merupakan satu permulaan untuk Team Fate,” kata BiuBiu kepada WTM Today dalam satu temu bual ringkas pada malam tadi.
Jelas BiuBiu, rakan-rakan sepasukannya juga wajar menerima penghargaan yang sama menerusi kemenangan itu.
Selain BiuBiu, Team Fate turut terdiri daripada pemain muda dan pemain berpengalaman, iaitu Loongzskr, Looyou dan Zheqi.
Selepas 10 pusingan dimainkan, Team Fate berjaya mencatatkan 149 mata secara keseluruhan dengan hanya satu Chicken Dinner.
Pasukan itu mempunyai empat mata kelebihan berbanding penyandang tempat kedua, Genesis Esports.
Pemain Team Fate, Loongzskr muncul sebagai Terminator kejohanan.
Sebelum ini, BiuBiu juga pernah melakukan kemunculan semula dalam arena kompetitif pada tahun lalu, dengan penyertaan dalam Kejohanan Final The Red Bull Mobile MEO Musim Keempat Peringkat Asia 2021.
BiuBiu merupakan antara pemain tersohor PUBG Mobile di Asia Tenggara dan pernah menjadi pemain e-sukan Malaysia pertama yang tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila meraih Jumlah Tontonan Bagi Sebuah Video E-Sukan Terbanyak di YouTube.
Antara pencapaian BiuBiu dalam arena kompetitif PUBG Mobile termasuk:
- Tempat pertama Liga PMCO Musim Bunga (Kelayakan Malaysia) 2019
- Tempat pertama Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Pertama 2020
- Tempat kelima SEA Final Musim Pertama 2020
- Tempat pertama Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua 2020
BiuBiu juga berjaya mewakili Malaysia ke kejohanan dunia sperti Final Global PMCO Musim Bunga 2019 dan Liga Dunia PUBG Mobile (PMWL) Timur Musim Zero pada Julai 2020.
Pada 30 September 2020, BiuBiu telah mengumumkan berehat dari arena kompetitif.