Connect with us

Mobile Legends

4MEYZ tebus kesalahan MPLI, dipilih MVP Minggu Keenam MPL

Published

on

Foto: WTM Today

TIADA jalan pintas untuk berjaya.

Apabila tersungkur sekali pun, hanya ada satu pilihan, iaitu bangkit.

Itu yang dilakukan pemain profesional Mobile Legends TODAK, Wan Usman Wan Imran (4Meyz).

4Meyz membuat kemunculan dalam arena profesional buat pertama kali selepas TODAK melakukan rombakan pemain pada Jun lalu ketika Piala Liga Profesional Mobile Legends 4 Negara (MPLI 2020) berlangsung.

Dalam kejohanan itu, negara jiran, Indoneisa mendominasi secara keseluruhan kejohanan tanpa memberi ruang kepada pasukan lain untuk ‘bernafas’.

Seolah-olah sedang mengalami kejutan budaya menyertai kejohanan antarabangsa seumpama itu, 4Meyz tidak meninggalkan sebarang kesan sejak kemasukannya dalam barisan utama TODAK.

Namun itu tidak bermaksud dia mahu berputus asa dan memandangkan 4Meyz baru sahaja memulakan kariernya sebagai pemain profesional bersama TODAK.

4Meyz masih lagi boleh dilabel sebagai seorang rookie dalam gelanggang profesional.

Walau bagaimanapun, kesungguhannya serta skil permainannya yang saban hari menunjukkan peningkatan dalam Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura (MPL MYSG) Musim Keenam 2020 membuktikan 4Meyz ada nilai dan ciri-ciri tersendiri sebagai pemain profesional e-sukan.

Minggu demi minggu, 4Meyz dilihat semakin selesa sebagai posisi offlaner sehingga menjadi ancaman kepada pihak lawan terutama apabila dia menggunakan hero Khaleed.

Berikutan itu, pemain TODAK itu kini diangkat sebagai pemain terbaik (MVP) MPL MYSG Musim Keenam bagi minggu keenam.

Menurut Moonton, meski 4Meyz memulakan sesi peringkat liga sebagai seorang pemain bertaraf sederhana namun dia mampu menjalankan tanggungjawab sebagai offlaner yang baik.

“4Meyz bukan pemain utama tapi dia juga tidak banyak melakukan kesilapan.

“Skil offlaner 4Meyz menunjukkan peningkatan yang sangat baik pada setiap minggu apabila dia mampu mempertahankan kawasannya dengan membenam setiap musuh yang ada.

“Selain di laluannya, 4Meyz juga dilihat mampu memberi tekanan di bahagian jungle dan laluan tengah pihak musuh,”kata Moonton dalam satu kenyataan media eksklusif kepada WTM Today.

Menurut Moonton lagi, 4Meyz dilihat sebagai salah satu offlaner terkuat pada musim kali ini dan perlu diberi perhatian pada pusingan penentu (playoff) yang akan diadakan pada 23-25 Oktober nanti.

4Meyz bersama TODAK berjaya berada di ranking pertama peringkat liga, tanpa sebarang kekalahan.

Foto: Mobile Legends

Mereka akan memulakan pusingan playoff nanti di peringkat upper bracket selepas mengumpul 11 mata agregat di peringkat liga.

Selain 4Meyz, pasukan TODAK terdiri daripada Muhammad Rizwan Abdullah (Eone), Muhammad Danial Mohamad Faud (Ciku), Zikry Shamsuddin (Moon) Mohamad Aiman Idris (Xray) dan Zairul Hazim Zailani (Stoo).

Ia turut menerima khidmat jurulatih daripada Nik Hafif Aiman Nik Hazlan (Manity).

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved