Connect with us

Mobile Legends

Xorn dapat kontrak baru, akan dipinjamkan ke pasukan luar

Published

on

KUALA LUMPUR – Pemain profesional Mobile Legends : Bang Bang (Mobile Legends) tanah air Mohamad Zul Hisham Mohd Noor (Xorn) telah menandatangani satu kontrak baharu bersama Geek Fam yang memberi tumpuan kepada komitmen jangka masa panjang, dengan meminjamkan pemain itu kepada organisasi luar untuk pendedahan antarabangsa.

Dalam satu kenyataan media pada hari ini, Geek Fam berkata Xorn dilihat sebagai satu aset besar pasukan namun seiring dengan inisiatif pembangunan semula organisasi, pasukan itu telah merancang untuk memberi nafas baru dalam barisan utama pasukan profesional Mobile Legends.

“Menerusi pinjaman Xorn dalam tempoh tertentu kepada organisasi luar, ia akan memberi peluang kepada Geek Fam untuk membina dinamik baharu, mencungkil bakat baru dan meningkatkan lagi potensi Xorn apabila dia kembali sebagai pemain dan kapten yang mempunyai ciri-ciri serba lengkap.

“Beberapa pasukan dari Indonesia dan Filipina telah menunjukkan minat untuk mengambil Xorn sebagai sebahagian dari skuad mereka.

“Namun Geek Fam tidak mahu terburu-buru dengan urusan pinjaman tersebut memandangkan organisasi luar itu masih melakukan pertimbangan sama ada memerlukan khidmat Xorn atau tidak,” kata Geek Fam dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Jelas Geek Fam, pihaknya bersedia untuk melakukan perbincangan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan Xorn.

Sementara itu, Xorn yang juga terkenal dengan gelaran Raja Emote Malaysia berkata dia sentiasa mahu ke Indonesia yang mempunyai suasana kompetitif yang lebih tinggi menerusi Liga Francais MPL.

“Saya berterima kasih kepada Geek Fam kerana telah menggilap bakat saya sebagai pemain untuk tempoh dua tahun setengah ini.

“Saya teruja dengan pengurusan pinjaman pemain ini kerana saya sayangkan Geek Fam dan mahu bermain peranan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Saya percaya kepada keputusan pengurusan Geek Fam dan akan menunggu keputusan pemindahan pemain pada akhir musim nanti,” kata Xorn dalam kenyataan media yang sama.

Geek Fam turut mengesahkan pemain-pemain sedia ada dalam skuad Mobile Legends itu telah menandatangani kontrak baru yang akan memainkan peranan pembangunan skuad dan organisasi.

Geek Fam juga berkata pihaknya juga kini sedang mencari pemain-pemain baharu untuk pasukannya.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved