PUBG Mobile
“Tidak ingin sia-siakan masa yang dikorbankan dengan keluarga, saya mahu harumkan nama Malaysia” – Boyka
SEPERTI tiada satu hembusan nafas lega bagi Khairunnazri Masli (Boyka), kapten pasukan kompetitif PUBG Mobile AROV Esports, apabila satu demi satu dugaan yang perlu dilalui untuk ke Liga PMCO Asia Tenggara Fall Split (PMCO) 2019.
Dia sangkakan panas hingga ke petang namun hujan di tengah hari.
Selepas selesai meraikan kemenangan dan detik manis sebagai naib juara Kejohanan PUBG Mobile Malaysia (PMNC) pada Julai lalu, Boyka berdepan dengan beberapa masalah.
Antaranya apabila dia telah mencuba sehabis baik untuk membantu anak buahnya sendiri Aiman Hafizi (Amypro) yang mempunyai masalah dokumen yang dihadapinya.
Boyka berulang alik dari Jabatan Pendaftaran Negara untuk memastikan Amypro dapat ke PMCO yang berlangsung di Shanghai, China.
Dia tetap mahu memastikan Amypro ke PMCO kali ini apabila hasrat Amypro pernah dikuburkan pada PMCO yang lalu.
Boyka juga percaya, barisan pemain AROV Esports ketika PMNC dapat mencetuskan kejutan pada PMCO nanti.
Namun apakan daya, masalah dokumen itu tidak dapat diselesaikan sebelum mereka terbang ke Shanghai pada minggu lalu.
“Kalau mahu diikutkan, memang hampa dan kecewa kerana impian selesai PMNC memang mahu bawa barisan yang sama di PMCO kerana mereka pemain yang bersungguh-sungguh, sanggup berjuang dan berlatih siang dan malam.
“Tapi sayang impian itu musnah, jadi saya mempunyai masa yang suntuk untuk mencari pemain ganti.
“Saya memang sangat tertekan kerana sebagai seorang kapten memang banyak perkara perlu diuruskan,” katanya ketika dihubungi What’s The Meta baru-baru ini.
AROV Esports terpaksa mencari tiga pemain baharu untuk PMCO berikutan beberapa isu yang tidak dapat dielakkan.
Ia termasuk isu dokumen tidak lengkap AmyPRO, kesibukan menjelang musim peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang perlu dihadapi Lunar dan Fazu pula perlu menghadapi Ujian Akhir Tahun Matrikulasi.
Namun ketiga-tiga mereka telah pun diganti dengan Jenny, Putra dan Smokey.
Masing-masing berusia antara 16 sehingga 22 tahun.
“Saya lebih suka untuk memilih pemain yang lebih muda kerana mereka lebih senang dibentuk walaupun semuanya tiada pengalaman mengikut kejohanan besar. Semangat darah muda mereka ini sangat tinggi.
“Saya ketepikan perbezaan umur untuk bagi membentuk kesefahaman yang sama,” katanya.
Boyka juga berkata dia mahu berikan yang terbaik untuk PMCO kali ini meski terpaksa berjauhan dengan anaknya yang baru lahir.
“Harapan saya bagi PMCO ini semestinya saya mahu mendapatkan keputusan yang terbaik dan mengharumkan nama negara. Saya tidak mahu yang dikorbankan dengan keluarga menjadi sia-sia,”tambahnya.
Boyka bersama AROV Esports kini berada di Shanghai, China bagi menghadapi saingan PMCO Asia Tenggara.
Mereka berada dalam kumpulan A, bersama pasukan senegara Team Secret dan Yoodo Gank.
PMCO Fall Split 2019 akan bermula 17 September ini sehingga 10 Oktober nanti.
Anda boleh menonton secara langsung di Facebook PUBG Mobile atau di YouTube PUBG Mobile.