Connect with us

PUBG Mobile

Team Secret MY masih ada masalah kekangan bahasa – Fredo

Published

on

Foto: PUBG Mobile

PEMAIN profesional PUBG Mobile tanah air, Ahmad Fuad Razali (Fredo) mengakui masalah kekangan bahasa masih wujud dalam pasukannya, Team Secret MY.

Fredo berkata masalah itu berlaku apabila dia dan rakan-rakan sepasukannya cuba berinteraksi dalam permainan.

“Saya rasa masih wujud kekangan bahasa. Contohnya, kadang kala susah untuk kami berkomunikasi dalam permainan.

“Kalau nak cakap tentang sesuatu perkara, ia mengambil masa untuk proses. Ya, kekangan bahasa memang ada masalah sedikit,” kata Fredo.

Fredo berkata demikian dalam satu video dokumentari sempena Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura Musim Ketiga (PMPL MYSG S3) yang bertajuk ‘Dream Chaser #3 – END OF AN ERA’ di YouTube PUBG Mobile.

Pada peringkat Grand Final PMPL MYSG S3 yang lalu, Team Secret MY gagal mempertahankan gelaran kejuarannya apabila berada di ranking kelapan.

Berikutan keputusan di Grand Final itu juga menyaksikan Team Secret MY tidak melepasi kelayakan ke peringkat akhir PMPL Asia Tenggara (SEA Final) buat kali pertama sejak kejohanan itu dipertandingkan pada tahun lalu.

Selain Fredo, barisan Team Secret MY terdiri daripada:
Raymond Tan (iShotz)
Aekachai Areesanan (Madtoi)
Muhammad Dhiya Ulhaq Mohd Arasz (Uhigh)
Muhammad Izzrudin Hashim (Jumper)
Jay Lim Jarn Jiang (Y2K)

Menurut Fredo, pihaknya sudah melihat dan memahami kesilapan yang tidak wajar dilakukan pada peringkat Grand Final itu dan seharapnya akan melakukan kebangkitan semula pada musim yang akan datang.

“Semoga kami bangkit menjadi lebih hebat dan perbaiki semua kesalahan,” kata Fredo dalam video dokumentari yang sama.

Fredo turut mengucapkan selamat maju jaya kepada tiga wakil Malaysia yang berjaya mara ke peringkat SEA Final Musim Ketiga 2021 iaitu Dingoz MPX, RSG dan Geek Fam.

“Buat yang terbaik dan bagi rakyat Malaysia bangga,” kata Fredo mengakhiri temu bual dalam video itu.

SEA Final Musim Ketiga 2021 akan berlangsung pada 21-23 Mei nanti dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM619,000 (AS$150,000).

Kejohanan itu mengumpulkan 16 pasukan PUBG Mobile Asia Tenggara dan disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube PUBG Mobile.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved