Connect with us

PUBG Mobile

Syarikat kopi Chek Hup Coffee sertai esports, pemain EVOS VIP jadi duta

Published

on

Kapten EVOS VIP, Muhammad Afiq (Yakuza) dalam satu poster kerjasama Chek Hup dan EVOS Esports. - Foto EVOS Esports

KUALA LUMPUR – Jenama kopi tempatan Chek Hup Coffee telah dilantik untuk menjadi salah satu penaja bagi organisasi utama Asia Tenggara EVOS Esports.

Penajaan itu termasuk menjadikan pemain-pemain EVOS Esports sebagai duta, pembekalan kopi dan pemasaran.

Pengarah Urusan Chek Hup Holding, Joseph Tan berkata pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan EVOS Esports bagi mendekati pengguna dalam kalangan gamers.

“Chek Hup masih baru dalam e-sukan dan kami sentiasa terbuka kepada idea inovasi.

“Kami percaya e-sukan dan permainan video akan membantu kami untuk berhubung dengan pelanggan generasi muda.

“Kami juga akan melantik bakat-bakat EVOS Esports sebagai duta kempen terbaru kami yang akan melibatkan beberapa hadiah seperti telefon pintar, vespa, perkakas elektrik dan voucher Chek Hup,” katanya dalam satu kenyataan media baru baru ini.

Chek Hup yang mula bertapak di Ipoh, Perak sejak pertengahan 1900 diasaskan oleh peminat kopi sejati yang menggabungkan rasa biji kopi yang dipanggang dengan cita rasa tempatan.

Syarikat kopi itu juga merupakan pengeksport utama ke Hong Kong, China, Macau, Taiwan, Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Filipina, Amerika Syarikat, Kanada, UK, Australia dan New Zealand.

Sementara itu, pengasas dan ketua Pegawai Eksekutif EVOS Esports Ivan Yeo berkata pihaknya menghargai kerjasama dari jenama kopi ternama seperti Chek Hup yang menyokong indusri e-sukan.

“Kerjasama ini akan menjadikan Chek Hup sebagai jenama berinovatif yang memahami kekuatan dan pengaruh e-sukan memandangkan kajian menunjukan ramai orang akan meluangkan masa di rumah untuk berkomunikasi di rumah menerusi platform ini.

“EVOS Esports akan menghasilkan beberapa video eksklusif yang mengetengahkan produk Chek Hup Coffee, integrasi jenama pada jersey EVOS Esports dan kempen sosial media bersama peminat,” katanya dalam kenyatan media bersama itu.

Pada Februari lalu, EVOS Esports telah membuka cawangannya di Malaysia dengan mengadakan satu kolaborasi bersama juara Kejohanan PUBG Mobile Malaysia (PMNC) 2019, Victorious In Play (VIP Squad).

Menerusi kerjasama itu, VIP Squad telah dijenamakan semula sebagai EVOS VIP.

EVOS VIP terdiri daripada pemain PUBG Mobile terkenal di Malaysia termasuk Muhammad Afiq (Yakuza) yang mempunyai lebih 720,000 pengikut di Facebook Gaming.

EVOS Esports merupakan satu organisasi e-sukan yang ditubuhkan pada 2017 dan beroperasi di lima buah negara dengan 15 pasukan serta lebih 60 pemain berada di bawah naungannya.

Antara skuad kompetitif e-sukan yang berada di bawah organisasi EVOS Esports termasuk Arena of Valor, Dota 2, League of Legends, Mobile Legends, Point Blank, Fortnite Battle Royale, Point Blank & FIFA. 

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved