Connect with us

PUBG Mobile

Covid-19: RM3,000 telah disumbangkan menerusi Scrim Saja Saja – OTG

Published

on

Foto: Facebook / OTG/ Team Secret

KUALA LUMPUR – Penstriman langsung latihan pasukan-pasukan PUBG Mobile popular, Scrim Saja Saja (SSS) berjaya mengutip dana sebanyak RM3,000 pada minggu lalu.

Pengasas SSS Partibhan Petchayappen (OnTheGo) berkata dana Tabung SSS itu akan diberikan terus kepada mereka yang memerlukan.

“Hampir RM3000 telah didermakan kepada yang memerlukan. Kebanyakan penerima adalah pelajar yang memerlukan wang saku dan juga pembelanjaan akses internet.

“Kepada anda yang memberi stars Facebook Gaming dalam SSS, kami mendoakan anda murah rezeki. Terima kasih kerana menyokong SSS.

“Bagi mereka yang mempunyai masalah, jangan malu untuk berhubung dengan Kucing Batuk. Kami akan membantu selagi nyawa dikandung badan,” kata OTG dalam satu catatan Facebook pada pagi Selasa.

SSS merupakan antara tempat latihan PUBG Mobile yang melibatkan pasukan-pasukan e-sukan di Malaysia dan Asia Tenggara dan disiarkan secara langsung di Facebook OnTheGo Productions.

Dalam SSS, OTG juga bertindak sebagai pengulas bagi setiap siaran yang dilakukan.

Pada minggu lalu, OTG berhasrat untuk membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 menerusi kutipan stars Facebook Gaming bagi siaran SSS.

“Saya ingin membantu sebagaimana senior di universiti saya dulu membantu saya ketika saya mengikat perut.

“Jika ada yang memerlukan duit tambang balik ke kampung, atau ke tempat kerja, membeli susu anak, membeli makanan, membeli top up untuk kelas online atau sebagainya, jangan segan silu menghubungi kami,” kata OTG.

Selain dikenali sebagai pengulas e-sukan terkemuka di Malaysia dan Indonesia, OTG juga merupakan pengurus kepada pasukan PUBG Mobile nombor 1 Malaysia, Team Secret MY.

Pasukan itu baru sahaja diumumkan akan menyertai PUBG Mobile Global Championship (PMGC) pada 24 November nanti.

Bagi anda yang mahu memberi sokongan kepada inisiatif SSS, boleh ikuti Facebook OTG.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved